MAINJ UNJUR KUTIPAN ZAKAT FITRAH RM27.3 JUTA TAHUN 2026

YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir ke Majlis Amanat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor dan Pengumuman Kadar Zakat Fitrah tahun 2026 di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengunjurkan kutipan Zakat Fitrah bagi tahun 1447H/2026M berjumlah RM27.3 juta, selaras dengan peningkatan jumlah pembayar zakat serta perkembangan demografi umat Islam di negeri ini.
Unjuran itu menganggarkan seramai 2.29 juta umat Islam di Johor akan menunaikan zakat fitrah pada tahun ini, selain mengambil kira faktor kelahiran baharu, penghijrahan masuk ke Johor bagi tujuan pekerjaan serta pertambahan penduduk yang menetap di negeri ini.
Selain itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah menetapkan tiga kadar zakat fitrah, iaitu RM8.00, RM10.00 dan RM20.00, berdasarkan jenis dan gred beras yang menjadi makanan rutin harian pembayar zakat yang juga mengambil kira harga beras semasa serta amalan pemakanan majoriti umat Islam di Johor.
Bagi memastikan urusan pungutan zakat berjalan lancar dan tersusun, MAINJ telah melantik seramai 1,672 amil zakat fitrah di seluruh Negeri Johor yang melibatkan individu yang diberi tauliah mengikut kawasan dan kariah masing-masing termasuk ketua kampung.
Sementara itu, bagi Bantuan Hari Raya Aidilfitri tahun 1447H/2026M pula, MAINJ memperuntukkan sebanyak RM19.8 juta yang dijangka akan memberi manfaat kepada seramai 100,662 penerima. Mereka terdiri daripada golongan asnaf fakir dan miskin yang telah dikenal pasti layak menerima bantuan melibatkan ketua keluarga serta tanggungan dengan kadar bantuan antara RM50 hingga RM500 seorang.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan MAINJ dalam memastikan hasil kutipan zakat akan disalurkan secara berkesan bagi membantu kesejahteraan rakyat dan mengukuhkan jaringan keselamatan sosial umat Islam di Negeri Johor.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir ke Majlis Amanat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor dan Pengumuman Kadar Zakat Fitrah tahun 2026 di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor, hari ini.
#JohorSafeZone
#ZakatFitrah2026
#MAINJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



