BEKALAN MAKANAN MENCUKUPI, JOHOR SEDIA BANTU NEGERI LAIN


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip, berkata Kerajaan Negeri sedang giat mengadakan siri pertemuan dengan pengusaha yang sedang berusaha meluaskan hasil pengeluaran mereka. | Foto MDJ Saufi Razale

 

PONTIAN — Hasrat Kerajaan Negeri Johor bagi memperkasa peranan sebagai pengeluar bekalan makanan berada pada landasan tepat susulan kerjasama erat dengan pelbagai agensi berkaitan pertanian dan keterjaminan makanan (food security).

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip, berkata Kerajaan Negeri sedang giat mengadakan siri pertemuan dengan pengusaha yang sedang berusaha meluaskan hasil pengeluaran mereka.

 

“Sehingga kini, Kerajaan Negeri menerima cadangan daripada pelabur luar seperti dari Pahang yang bercadang untuk membuka perniagaan tani di sini. Seperti yang pernah saya sebutkan, Johor amat beruntung kerana kita ada tiga wilayah ekonomi iaitu Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) yang amat penting untuk kita manfaatkan kelebihan ini.

 

“Di peringkat Kerajaan Negeri, kita sangat mengalu-alukan pelabur luar untuk masuk ke sini kerana Johor mempunyai visi yang jelas dalam sektor agromakanan,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor.

 

Tambah Zahari, bekalan makanan di Johor kini mencukupi dan Kerajaan Negeri bersedia untuk membantu membekalkan lebihan hasil tani ke negeri lain.

 

“Alhamdulillah, Johor sedia menyalurkan bekalan makanan kepada negeri lain hasil daripada bekalan makanan kita yang mencukupi. Malah, hasil tani di sini bukan sahaja untuk kegunaan kita, tetapi Johor merupakan antara negeri yang mengeksport hasil tani ke negeri lain.

 

“Kita telah mengeksport kelapa, ayam serta hasil yang lain kepada negeri-negeri lain terutama di selatan semenanjung seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

 

“Kita juga bersedia membantu negeri-negeri lain yang memerlukan (bekalan makanan) selari dengan misi kita untuk menjadi hab bakul makanan bukan saja di negara tetapi di rantau ini. InsyaAllah, saya beri jaminan bahawa sekuriti makanan kita tiada masalah setakat ini,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor