MASUK BUTA, KELUAR BISU
Bersempena dengan bulan Syawal ini, maka sudah menjadi budaya rakyat Malaysia untuk saling ziarah menziarahi sanak saudara, jiran tetangga malah ada yang mengadakan rumah terbuka untuk meraikan hari lebaran tanpa mengira bangsa dan agama.
Bagaimanapun, dalam kita sibuk menziarahi, harus diingatkan bahawa agama Islam turut menerapkan beberapa adab yang perlu dipatuhi supaya kunjungan tersebut mendapat pahala dan keredhaan Allah.
Pertama sekali adalah seeloknya kita sebagai tetamu perlu meminta izin terlebih dahulu supaya dapat mengelakkan kesulitan kepada pihak tuan rumah. Kita perlu ingat bahawa tuan rumah pasti akan berasa serba salah jika tidak menyediakan hidangan untuk menjamu selera. Tetamu juga harus sedar dengan pemberitahuan awal ini akan menyebabkan tuan rumah tidak berasa terbeban daripada sudut waktu yang mungkin akan mengganggu perancangan mereka.
Selain itu, tetamu perlu menjaga serta mengawal pandangan dan tingkah laku serta tidak seharusnya bebas melakukan apa sahaja di rumah orang lain. Ini kerana tetamu yang tidak memelihara pandangan akan mengganggu dan tidak akan disenangi oleh tuan rumah. Tetamu juga perlu duduk di tempat yang telah dikhaskan oleh tuan rumah apabila datang berziarah.
Bagi yang datang bersama dengan anak kecil pula, pastikan mereka tidak mengotor atau memecahkan barangan tuan rumah. Jika berlaku di hadapan mata kita, maka hendaklah kita menasihati anak kecil ini agar tidak berbuat demikian. Berpesan kepada anak-anak sebelum melangkah masuk ke kediaman tuan rumah adalah sangat dianjurkan supaya mereka dapat menjaga kelakuan.
Adab dan etika bagi mereka yang bertandang perlu dijaga agar tidak menyusahkan tuan rumah. Jangan duduk terlalu lama hinggakan tuan rumah berasa tidak selesa, lebih-lebih lagi sekiranya mereka menerima banyak kunjungan pada hari berkenaan.
Apabila hendak pulang, mintalah izin daripada mereka, maka ucapkanlah terima kasih atas jemputan dan layanan yang telah diberikan. Seterusnya, adalah lebih baik kita turut mendoakan kebaikan buat tuan rumah.
Semoga dengan kita mengamalkan adab-adab ziarah ini, akhlak kita sebagai seorang Islam semakin terpelihara dan beroleh ganjaran Allah SWT.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor