SAJIAN BURASAK PELENGKAP JUADAH AIDILFITRI


Burasak merupakan sejenis makanan berkhasiat yang amat sinonim bagi masyarakat Melayu Bugis termasuk di Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah

Setiap kali lebaran pasti tidak akan lengkap tanpan sajian buras atau lebih dikenali sebagai burasak, sejenis makanan berkhasiat yang amat sinonim bagi masyarakat Melayu Bugis termasuk di Johor.

 

 

Malah, sajian enak ini akan terasa lebih lazat apabila digandingkan dengan ayam masak lengkuas, ayam masak kicap, daging dendeng atau hidangan raya yang lain yang pastinya mengamit selera sama ada bersama rakan mahu pun sanak saudara.

 

 

Untuk mengenali lebih dekat makanan tradisi ini, krew Media Digital Johor menemui Agus Salim Hassan, 36 yang bukan sahaja pengusaha burasak tetapi juga berturunan Melayu Bugis yang ‘tidak menang tangan’ setiap kali menjelang Syawal apabila menerima tempahan dari dalam dan luar Johor.

 

 

Mewarisi ramuan istimewa dari leluhurnya, Agus Salim memberitahu kebiasaannya beliau menerima tempahan kira-kira 3,000 bungkus burasak yang dijual pada tanda harga serendah RM10 itu setiap kali Ramadan dan juga menjelang sambutan Aidilfitri.

 

 

Ujar pemuda yang berasal dari Pasir Gudang ini, beliau akan mendapatkan bahan terpilih bagi menghasilkan burasak dan begitu juga dengan proses memasak yang dilaksanakan dengan serapi yang mungkin bermula dari menanak beras, membungkus dalam beberapa lembaran daun pisang sehingga proses merebus burasak.

 

 

Semua itu katanya bagi memasti tekstur burasak yang dihasilkan lebih lembut sebelum melalui proses pembekuan untuk menjadikannya lebih tahan lama, sesuai dengan sejarahnya yang pernah menjadi bekalan ‘pasompe’ atau merantau dalam dialek bahasa Bugis.

 

 

Bagi menjadikan burasak lebih terampil, burasak ini juga akan dibungkus menggunakan daun pisang nipah atau pisang berangan yang masing-masing dilembarkan antara lima hingga 10 keping, sebelum diikat dengan daun muda supaya isi burasak tidak menjadi gelap ketika direbus dalam tempoh lama.

 

 

Berkongsi rahsia menjadikan ia lebih sempurna, setiap burasak ini tidak perlu diikat terlalu ketat kerana ia dikhuatiri boleh merosakkan daun pisang apabila beras mula mengembang ketika direbus.

 

 

Kaedah penyediaan burasak juga berbeza mengikut acuan pencetak kerana menggunakan mediumpapan kayu sebagai acuan tetapi disebabkan permintaan burasak yang kian meningkat setiap kali hari raya, acuan pencetak kini dimodenkan dengan menggunakan paip ‘polyvinyl chloride’ (PVC) untuk mempercepatkan lagi proses penyediaan burasak.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor