MAYBANK CYCLING SERIES JOHOR FOKUS SEKTOR SUKAN DAN PELANCONGAN


Majlis Menandatangani Memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Maybank bagi penganjuran kejohanan Maybank Cycling Series Johor 2024. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Negeri Johor terus menjadi destinasi pilihan penganjuran sukan bertaraf antarabangsa apabila bakal menjadi tuan rumah kepada Maybank Cycling Series 2024 yang dijangka berlangsung pada September ini.

 

Ia sekali gus menjadi bukti kepada visi Kerajaan Johor dalam usaha memajukan sukan dan juga penglibatan komuniti secara menyeluruh.

 

Bagi terus merealisasikan hasrat tersebut, satu Majlis Menandatangani Memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Maybank bagi penganjuran kejohanan terbabit yang dijangka akan menerima penyertaan atlet berbasikal dari dalam dan luar negara.

 

MoU tersebut telah ditandatangani oleh Ts Mohd Ekmaluddin Ishak, Pengarah MSNJ dan Puan Shazlina Md. Suffian, Ketua Kumpulan Pemasaran Maybank.

 

Selaku peneraju institusi perbankan di Malaysia, permeteraian MoU ini menjadi sejarah penting buat Maybank kerana acara berbasikal premier ini bakal menyaksikan lebih 7,000 penggiat sukan berbasikal berhimpun di Negeri Johor.

 

Selain itu, Maybank Cycling Series Johor yang akan diadakan pada September 2024 ini juga dijangka mampu menyuntik sejumlah RM3.4 juta untuk ekonomi tempatan menerusi perbelanjaan pelancong tempatan dan luar negara, secara tidak langsung turut mengangkat Iskandar Puteri sebagai satu destinasi mesra berbasikal yang premier.

 

Acara ini juga dilihat bukan sekadar melibatkan acara sukan di Negeri Johor, malah turut merangkumi sektor pelancongan dengan laluan kayuhan yang melibatkan mercu-mercu tanda dan bangunan ikonik sekitar Iskandar Puteri.

 

Selain itu, acara yang diiktiraf oleh Kerajaan Negeri ini bakal meningkatkan status Johor selaku destinasi premier bagi penganjuran sukan peringkat kebangsaan dan serantau.

 

Justeru, bagi penggiat, atlet atau pecinta sukan berbasikal yang ingin menyertai Maybank Cycling Series Johor boleh membuat pendaftaran di laman web www.johorcyclingseries.com mulai hari ini.

 

Turut hadir, YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor; YB Dato’ Haji On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) dan YB Dato’ Haji Lukman Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).

 

#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor