LOKASI SESUAI TMIYC SEGAMAT AKAN DIKENAL PASTI


YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Negeri mempunyai perancangan pembinaan Pusat Belia Tunku Mahkota Ismail (TMIYC) untuk daerah Segamat yang sedang giat dilaksanakan bagi menyediakan kemudahan serba lengkap bagi keperluan masyarakat khususnya belia melakukan aktiviti riadah.

 

Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri akan meminta pihak Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) mengadakan perbincangan bersama Pejabat Daerah Segamat dan Majlis Perbandaran Segamat.

 

Perbincangan yang turut disertai pihak Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Johor itu bertujuan mengenal pasti lokasi yang bersesuai bagi pembinaan TMIYC untuk daerah Segamat bagi kemudahan golongan belia.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri tidak pernah membezakan pembangunan belia di negeri ini, malah menekankan perancangan yang menyeluruh melibatkan kawasan pedalaman atau kampung, pinggir bandar dan juga bandar.

 

Sebagai contoh, Kerajaan Negeri memperuntukkan geran berjumlah RM365,000 kepada 73 pergerakan Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) di negeri ini, bagi tujuan pengurusan pentadbiran dan pelaksanaan program.

 

Malah, Kerajaan Negeri juga melaksanakan siri Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor di 10 daerah bagi mengenal pasti aspirasi dan keinginan yang menjadi keutamaan belia mengikut keperluan di setiap kawasan di negeri ini.

 

Terdahulu, YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor