MBIP BAIK PULIH, PENYELENGGARAAN SUSUR TAMAN IMPIAN EMAS


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan tinjauan di lokasi bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Datuk Bandar MBIP, Dato’ Mohd Haffiz Ahmad.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerja baik pulih dan menurap semula permukaan jalan di susur Taman Impian Emas, Lebuhraya Skudai, akan segera dilakukan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerja baik pulih berkenaan juga meliputi penyelenggaraan perabot jalan di lokasi terbabit.

 

“Antara kerja-kerja penyelenggaraan lain yang akan dilakukan di Lebuhraya Skudai ini termasuklah pemasangan penghadang jalan, ‘expansion joint’, ‘railing bridge’, garisan jalan dan ‘speedbreaker’, ‘road stud’, ‘kerb’ jalan serta pengecatan semula,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Selasa.

 

Terdahulu, Menteri Besar Johor mengadakan tinjauan di lokasi bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Datuk Bandar MBIP, Dato’ Mohd Haffiz Ahmad.

 

Susulan tinjauan berkenaan, Onn Hafiz menzahirkan rasa dukacita dengan keadaan jalan raya berlubang dan bertampal yang memerlukan penyelenggaraan segera kerana membahayakan keselamatan pengguna.

 

Selain itu, beliau turut meninjau aliran trafik di Lebuhraya Senai – Skudai dan berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas pengawalan serta melancarkan aliran trafik semasa waktu puncak.

 

“Kerajaan Negeri akan terus komited untuk menyelesaikan isu penyelenggaraan dan kesesakan jalan raya supaya ia selamat untuk pengguna jalan raya,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor