MBJB IMPLEMENTASI KIOSK BACAAN KOMUNITI


Datuk Bandar Johor Bahru, Dato’ Mohd Noorazam Dato’ Haji Osman menyempurnakan Program Komuniti JB Ceria Raya dan Perasmian Kiosk Bacaan Komuniti Pintar di Perumahan Pangsapuri Zon 1 – 1, Permas Jaya, semalam. | Foto ihsan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB)

 

ISKANDAR PUTERI — Orang ramai kini berpeluang untuk menambah ilmu dengan mudah apabila Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengambil inisiatif melancarkan Kiosk Bacaan Komuniti Pintar.

 

Kiosk terbabit yang bercirikan perpustakaan terbuka atau ‘little free library’ ini adalah inisiatif terbaharu MBJB yang menerapkan konsep baharu di mana sudut bacaan akan diwujudkan di lokasi tumpuan umum seperti taman, perhentian bas, ruang awam dan sekitar kawasan perumahan.

 

Dalam kenyataan di media sosial Facebook rasminya, MBJB menjelaskan konsep penggunaan Kiosk Pintar Komuniti ini masih mengekalkan sifat tradisi perpustakaan iaitu meminjam, menukar bahan bacaan atau menyumbang sumber bahan bacaan baharu.

 

“Ini adalah Kiosk Bacaan Pintar yang kedua yang diwujudkan dalam kawasan pentadbiran MBJB susulan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama pihak Rotary Club of Johor Bahru Central dan Happy Riders Connect sebelum ini.

 

“Ia akan meningkatkan lagi akses komuniti kepada buku, bahan ilmiah dan imu serta secara tidak langsung dapat menggalakan budaya membaca dalam kalangan masyarakat,” jelas kenyataan itu.

 

Terdahulu, Datuk Bandar Johor Bahru, Dato’ Mohd Noorazam Dato’ Haji Osman menyempurnakan Program Komuniti JB Ceria Raya dan Perasmian Kiosk Bacaan Komuniti Pintar di Perumahan Pangsapuri Zon 1 – 1, Permas Jaya, semalam.

 

Dalam kenyataan sama, MBJB berharap inisiatif terkini itu juga akan dapat menggalakan budaya membaca dan pemikiran kreatif dalam kalangan masyarakat khususnya warga bandar raya itu pada masa akan datang.

 

Katanya, ia penting dalam usaha membentuk sebuah bandar raya yang seimbang dari segi pembangunan fizikal serta sahsiah jati diri dalam kalangan warganya kelak.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor