40 JURURAWAT TANAM POKOK BAKAU SEMPENA HARI JURURAWAT ANTARABANGSA


Seramai 40 jururawat Hospital Pakar KPJ Puteri baru-baru ini menyertai Program Penanaman Semula Pokok Paya Bakau di Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian sempena Hari Jururawat Antarabangsa pada 20 Mei lalu | FOTO IHSAN, Hospital Pakar KPJ Puteri

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 40 jururawat Hospital Pakar KPJ Puteri baru-baru ini menyertai Program Penanaman Semula Pokok Paya Bakau di Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian sempena Hari Jururawat Antarabangsa pada 20 Mei lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital KPJ Wilayah Selatan, Azhar Abdullah, berkata sebanyak 250 pokok paya bakau telah ditanam di sekitar pinggiran laut Tanjung Piai berdekatan dengan Taman Negara Tanjung Piai untuk dijadikan sebagai zon penampan daripada hakisan laut yang disebabkan hentaman ombak.

 

“Selain mengekalkan kawasan hutan simpan kekal sebagai sumber penting dalam ekosistem paya bakau, penanaman ini turut membantu dalam menjadikan ia sebagai zon penampan ombak serta meningkatkan jumlah pokok paya bakau di kawasan ini.

 

“Dalam pada masa yang sama, kami turut mengadakan program kesedaran pembersihan dan pengindahan kawasan paya bakau dengan mengutip sebanyak 79 kilogram (KG) sampah dalam bentuk botol plastik, tin minuman, selipar, cebisan plastik dan tali berjaya dikumpulkan dalam tempoh satu jam, katanya dalam kenyataan media, semalam.

 

Turut hadir menjayakan program itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Puteri, Hazarul Azly Hamzah dan Ketua Jururawat, Faridah Dawek.

 

Menurut Azhar, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan aktiviti luar itu bagi tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar seiring dengan tema sambutan Hari Jururawat Antarabangsa kali ini iaitu ‘Our Nurses, Our Future’ (Jururawat Kami, Masa Depan Kita).

 

Katanya, program yang dilaksanakan itu juga adalah kesinambungan Program Kelestarian (Sustainability Program) hospital yang telah dilaksanakan melalui penghentian penggunaan plastik, penjimatan tenaga sistem penyejuk yang tidak efisen dan penggunaan sistem e-waste.

 

“Selain menggalas tugasan hakiki yang berat di hospital, jururawat kami turut sering didedahkan dengan persekitaran kemasyarakatan hingga menyebabkan mereka tidak kekok dalam menjayakan aktiviti tanggungjawab sosial (CSR) seumpama ini.

 

“Di samping itu, ia turut dapat memupuk kesedaran dalam kalangan kakitangan kami demi memelihara ekosistem hutan paya bakau termasuk pesisiran pantai,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor