MBJB JAMIN PERALIHAN KREDIT SISTEM PARKIR DIURUS SECARA TERATUR

MBJB turut memaklumkan bahawa pengurusan peralihan baki kredit akan dilaksanakan secara adil dan teratur bagi memastikan setiap transaksi yang telah dibuat kekal diiktiraf dalam sistem baharu yang akan diguna pakai kelak. | Kenyataan MBJB
#IskandarPuteri – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memberi jaminan bahawa setiap baki kredit e-kupon pengguna aplikasi MBJBSpot tetap kekal terpelihara walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) itu kini bakal beralih kepada sistem aplikasi tempat letak kereta baharu, mulai 1 Mei 2026.
Peralihan sistem parkir di kawasan pentadbiran MBJB ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam memperkasa pengurusan parkir bandar raya berkenaan agar lebih sistematik, cekap dan selari dengan keperluan semasa.
Justeru, kepentingan pengguna terus menjadi keutamaan dengan jaminan bahawa baki kredit sedia ada tidak akan terjejas sepanjang proses peralihan tersebut berlangsung.
MBJB turut memaklumkan bahawa pengurusan peralihan baki kredit akan dilaksanakan secara adil dan teratur bagi memastikan setiap transaksi yang telah dibuat kekal diiktiraf dalam sistem baharu yang akan diguna pakai kelak.
Untuk rekod, penggunaan aplikasi MBJB Spot akan ditamatkan berkuat kuasa pada 30 April ini sebelum semua perkhidmatan parkir di kawasan MBJB beralih sepenuhnya kepada sistem baharu iaitu Parkmax @ Johor bermula 1 Mei 2026.
Sehubungan itu, segala urusan pembayaran parkir selepas tarikh tersebut perlu dibuat melalui aplikasi Parkmax @ Johor yang boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan Apple App Store.
Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa penyampaian perkhidmatan awam yang lebih efisien dan mesra rakyat, selaras dengan agenda pendigitalan perkhidmatan bandar pintar di Johor Bahru.
Orang awam yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi MBJB di talian 07-2198000 atau 07-2271032 bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung pelaksanaan peralihan sistem tersebut.
#JohorSafeZone
#MBJB
#ParkmaxJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



