KULAI TERIMA LEBIH RM72.5 JUTA BAGI 61 PROJEK PEMBANGUNAN

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Johor, mempengerusikan mesyuarat MTD Kulai di Pejabat Daerah Kulai. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memperuntukkan sejumlah RM72.5 juta bagi melaksanakan 61 projek pembangunan di daerah Kulai menerusi Mesyuarat Tindakan DUN (MTD), sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan setiap isu serta aduan rakyat dapat ditangani secara berkesan dan menyeluruh.
Peruntukan tersebut akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek berimpak tinggi melibatkan kerja baik pulih, naik taraf infrastruktur, penyelenggaraan sistem saliran serta penambahbaikan kemudahan awam demi keselesaan Bangsa Johor di daerah berkenaan.
Pelaksanaan semua inisiatif ini turut diselaraskan secara bersepadu melibatkan Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) serta agensi pelaksana bagi memastikan setiap aduan dan keperluan rakyat dapat ditangani dengan lebih cepat, tersusun dan efektif.
MTD Kulai yang melibatkan kawasan Dewan Negeri Johor (DUN) Bukit Permai, Bukit Batu, Senai dan Kota Iskandar telah membincangkan sebanyak 50 isu serta perkara berbangkit di daerah ini.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 18 isu telah berjaya diselesaikan, 19 isu sedang dalam tindakan pelaksanaan, manakala tujuh isu merupakan permohonan baharu dan tiga lagi dalam proses siasatan bagi tindakan lanjut secara menyeluruh.
Selain itu, sebanyak RM47,696,370 turut diperuntukkan bagi tujuan pelaksanaan pelbagai projek serta penyelesaian isu rakyat yang dikenal pasti melalui mesyuarat ini.
Kerajaan Johor juga turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1,070,000 bagi kerja-kerja kecemasan melibatkan 11 projek keutamaan yang memberi fokus kepada aspek bencana, sosial dan keselamatan di kawasan berisiko.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Johor, mempengerusikan mesyuarat MTD Kulai di Pejabat Daerah Kulai, baru-baru ini.
#JohorSafeZone
#MTDKulai
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


