MBJB NAFI TERLIBAT AKTIVITI KUTIPAN DERMA


Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menafikan terlibat dengan sebarang aktiviti permohonan kutipan sumbangan untuk mangsa banjir dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini / Sumber Gambar Facebook Majlis Bandaraya Johor Bahru.

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), hari ini, menafikan terlibat dalam aktiviti permohonan kutipan sumbangan untuk mangsa banjir.

 

Dalam satu kenyataan media, MBJB memaklumkan terdapat aktiviti berkenaan yang menggunakan nama MBJB selain menyalahgunakan nama kariah dan sebuah masjid.

 

“Untuk perhatian warga bandar raya Johor Bahru, baru-baru ini terdapat aktiviti permohonan kutipan sumbangan bagi mangsa-mangsa banjir yang telah menggunakan nama MBJB serta menyalahgunakan nama kariah dan sebuah masjid di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

 

“Sehubungan ini, MBJB ingin menjelaskan bahawa MBJB tidak terlibat dengan mana-mana organisasi atau individu yang menjalankan aktiviti kutipan sumbangan untuk mangsa-mangsa banjir,” jelas MBJB dalam kenyataan tersebut.

 

MBJB turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan memilih saluran yang diyakini benar sebelum menyalurkan sumbangan.

 

“Sekiranya terdapat aktiviti kutipan sumbangan atau derma yang mencurigakan, warga bandar raya boleh terus membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan dan tindakan lanjut,” jelas MBJB lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor