JOHOR RANCANG TINGKAT PENGELUARAN AKUAKULTUR


Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur, Dato’ Azahari Othman mengadakan lawatan ke projek Penggemukan Ketam Nipah di AB Crabs Trading dan Puncak Inovasi Sdn Bhd untuk melihat keberkesanan teknologi yang digunakan. | Sumber foto: Facebook Jabatan Perikanan Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Perikanan Negeri Johor mensasarkan untuk meningkatkan kadar pengeluaran akuakultur (ikan makan) sebanyak 62 peratus atau 36,783 tan metrik menjelang 2027.

 

Hasrat ini dilakukan dengan kerjasama dengan pengusaha akuakultur di Johor dengan mengaplikasikan penggunaan teknologi moden yang mampan.

 

Dalam kenyataan di laman sosial Facebook rasminya, Jabatan Perikanan Negeri Johor memaklumkan selari dengan hasrat tersebut, Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur, Dato’ Azahari Othman turut berkesempatan mengadakan lawatan Penggemukan Ketam Nipah di AB Crabs Trading dan Puncak Inovasi Sdn Bhd.

 

Sistem Recirculating Aquaculture System (RAS) digunakan bagi mengurangkan kos pihak syarikat. | | Sumber foto: Facebook Pejabat Perikanan Negeri Johor

 

“Lawatan itu bertujuan untuk melihat keberkesanan teknologi yang digunakan dalam projek di kedua-dua syarikat berkenaan. Menerusi projek penggemukan ketam nipah menerusi kaedah ‘1000 boxes vertical farming’ dan nurseri ketam nipah ini beroperasi menggunakan garam sintetik sebagai gantian kepada sumber air laut.

 

“Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kos operasi pihak syarikat telah menggunakan sistem Recirculating Aquaculture System (RAS),” jelas kenyataan berkenaan.

 

Dalam kenyataan sama, Jabatan Perikanan Negeri Johor menjelaskan ketam nipah dari syarikat ini akan dipasarkan secara hidup, selain syarikat terbabit juga turut menghasilkan ketam jenis kulit lembut untuk pasaran domestik dan luar negara.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor