EXCO JOHOR SANTUNI KELUARGA 4 BERADIK MAUT DALAM KEBAKARAN


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin Nisa’ Ismail dan Pegawai Daerah Muar, Hasrin Kamal Hashim bersama delegasi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor dan Pejabat Daerah Muar menyantuni ibubapa kepada empat beradik yang maut dalam kebakaran rumah di Kampung Sabak Awor, Muar / Pix Ihsan FB Khairin Nisa’ Ismail.

 

MUAR — Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) semalam menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada ibu bapa empat beradik yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong Haji Muhammad, Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor, awal malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata sumbangan itu bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung pasangan suami isteri berkenaan yang kehilangan serentak empat cahaya mata berusia tiga hingga lapan tahun.

Katanya, selain MAINJ, sumbangan sebanyak RM2,000 turut dihulurkan oleh Pejabat Daerah Muar manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor pula turut membekalkan sumbangan keperluan asas seperti pakaian, tilam dan lain-lain.

“Besar ujian ini bila kehilangan empat anak dalam satu malam.. namun yakinlah.. besar lagi hikmah dan pertolongan yang Allah janjikan untuk mereka.

Kita hadir menyatakan simpati dan rasa kebersamaan dalam menghadapi ujian ini serta bersama menyedekahkan tahlil ringkas dan doa kepada ruh keempat-empat anak syurga ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook rasminya selepas melakukan ziarah terhadap keluarga mangsa di Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), semalam.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin Nisa’ Ismail dan Pegawai Daerah Muar, Hasrin Kamal Hashim.

Dalam kejadian pada jam 7.49 malam kelmarin itu, empat beradik terbabit ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas pihak bomba dan penyelamat melakukan pencarian sejurus kebakaran dapat dipadamkan.

Bagaimanapun, petugas kesihatan dari HPSF yang turut berada dilokasi kejadian mengesahkan keempat beradik yang terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan meninggal dunia dipercayai akibat lemas akibat asap tebal berpunca daripada kebakaran terbabit.

Terdahulu, sepasukan 20 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dan Bukit Gambir yang diketuai Komander Operasi
Timbalan Penguasa Bomba II Shahrizal Mokhtar dengan kekuatan dua jentera fire rescue tender (FRT) dan sebuah ambulans bomba (ERMS) dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan Mers999.

Difahamkan, pihak bomba terpaksa menggunakan tiga pancutan air pam bagi memadamkan kebakaran yang memusnahkan hampir 80 peratus rumah separa kekal berkeluasan 2,800 kaki persegi itu.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor