MEMPERKASA SISTEM PENDIDIKAN TINGGI JOHOR
Lawatan kerja pendidikan Kerajaan Johor ke Singapura, hari ini, telah berkunjung ke institusi pendidikan tinggi (IPT) terkemuka di negara jiran, Institut Pendidikan Nasional (NIE) iaitu institusi di bawah Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Nasional Singapura (NUS).
Untuk rekod, NTU berada di ranking ke-32 manakala NUS pula di ranking ke-19 universiti dunia 2024 berdasarkan Times Higher Education.
Kunjungan ke dua IPT berkenaan menjadi platform kepada Kerajaan Johor memahami dasar sistem pendidikan tinggi Singapura di samping meraih input berhubung penetapan jurusan serta mempelajari soal urus tadbir universiti-universiti terkemuka Asia itu.
Malah kunjungan ke NIE iaitu institut pendidikan guru di Singapura turut membuka ruang dan peluang kepada Kerajaan Negeri menimba pengetahuan serta memahami modul latihan perguruan dan menjalin kerjasama strategik untuk melatih seterusnya melahirkan warga pendidik yang kompeten.
Inisiatif diambil Kerajaan Negeri menerusi lawatan tersebut sebagai antara usaha bagi meningkatkan kualiti sistem dan fasiliti pendidikan di negeri ini, yang mampu menjadi pemangkin serta daya penarik untuk anak Bangsa Johor menamatkan pengajian ke peringkat IPT.
Lawatan kerja pendidikan tersebut disertai pelbagai jabatan dan agensi negeri antaranya Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Institut Dato’ Onn (IDO), Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) selain Iskandar Investment Berhad (IIB).
Ketika perasmian pembukaan Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 pada 9 Mei lalu, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bertitah mahu setiap anak Johor harus menamatkan pengajian di peringkat IPT sekali gus bukan lagi di peringkat sekolah menengah sahaja.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor