PENGUASAAN SUBJEK BAHASA INGGERIS DAN STEM JADI KEUTAMAAN


YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengetuai lawatan delegasi Kerajaan Johor ke Singapura. | Foto MDJ Muhamad Bayu

 

Penguasaan bagi matapelajaran bahasa Inggeris serta kemahiran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menjadi antara perancangan utama Kerajaan Negeri dalam usaha memperbaharui sukatan silibus pelajaran yang dilihat sudah tidak relevan dengan situasi keperluan masa kini.

 

Langkah itu secara tidak langsung akan memartabatkan institusi sekolah sebagai ‘kilang pengeluar’ modal insan berpendidikan tinggi dan pada masa sama dapat menjayakan aspirasi transformasi pendidikan sebagaimana yang dititahkan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada pembukaan Persidangan Dewan Negeri Johor, baru-baru ini.

 

Penguasaan matapelajaran bahasa Inggeris perlu dititikberatkan dalam pembelajaran kerana ia adalah bahasa antarabangsa selain subjek STEM terutamanya membabitkan sains dan matematik pula dilihat penting seiring kepesatan teknologi masa kini.

 

Selain itu, kaedah pembelajaran secara praktikal juga akan diberi penekanan sewajarnya dan tidak hanya terlalu bergantung kepada modul pembelajaran teori semata-mata, sekali gus mampu mempersiapkan golongan pelajar yang lebih berpengetahuan dan bersedia untuk menempuh alam pekerjaaan sebenar pada masa hadapan.

 

Bagi memperkasakan lagi bidang pendidikan, satu program khas untuk golongan guru juga akan dirangka dan dilaksanakan secara berkala atau sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh sebulan yang bertujuan untuk menggilap potensi serta kemahiran mengajar dalam kalangan pendidik di sekolah.

 

Perubahan ini akan dilakukan secara berperingkat bermula tahun depan dan kaedah pelaksanaannya juga akan dibincangkan semula bagi mendapatkan satu perancangan yang rapi dan bersistematik.

 

Perkara itu dimaklumkan oleh YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor selepas mengetuai lawatan delegasi Kerajaan Johor ke Singapura, hari ini.

 

Singapura dipilih sebagai lokasi pertama lawatan berkenaan berikutan perkhidmatan pendidikannya yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa sebagai antara yang berkualiti tinggi, selain faktor kedudukannya yang berada paling hampir dengan Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor