MUHAMMAD NAUFAL TELEFON IBU SETIAP HARI


Muhammad Naufal Adam Mohd Nasir bersama ibunya, Nurul Huzaimawati Md Sudin. | Foto MDJ Nurina Salleh

 

Sekelip mata dikenali satu negara. Itulah yang berlaku ke atas Muhammad Naufal Adam Mohd Nasir apabila menerima ucapan tahniah daripada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri selepas memperoleh keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

 

Ucapan tersebut dizahirkan oleh Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sebagai menghargai kecemerlangan pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Iskandar, Mersing itu bersama 46 pelajar Orang Asli lain dalam peperiksaan tersebut.

 

Kejayaan Muhammad Naufal, 18, membuktikan ‘doa seorang ibu tiada hijab’ kerana pelajar Orang Asli dari suku Kuala itu akan menghubungi ibunya menggunakan telefon awam setiap hari untuk meminta doa kejayaan setiap hari ketika berada di asrama.

 

Dilantik sebagai ‘guru muda’ untuk membimbing rakan bagi ‘pecutan akhir’ menjelang SPM, bekas Pengawas Pusat Sumber itu berhasrat melanjutkan pengajian ke Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) dan memasang impian bergelar jurutera kimia serta berkhidmat dalam sektor minyak dan gas.

 

Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan membesar dan memberikannya ilmu, Muhammad Naufal yang ditemui di kediamannya di Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Layau mahu mengejar cita-cita demi memberi keselesaan dan menghantar ibu bapa ke Tanah Suci menggunakan hasil titik peluhnya apabila dewasa kelak.

 

Bagi ibunya, Nurul Huzaimawati Md Sudin, 44, akui tidak pernah memberikan sebarang tekanan kepada anaknya untuk belajar dan mengejar cita-cita selain sentiasa mendoakan kejayaan meskipun Muhammad Naufal pada awalnya disedari mempunyai ‘speech delay’ ketika usia enam tahun.

 

Suri rumah berkenaan berasa amat bersyukur kerana anak sulung daripada empat beradik itu telah membanggakan masyarakat Orang Asli dengan menghadiahkan kecemerlangan dalam pendidikan malah yakin lebih banyak kejayaan mampu diraih pada masa akan datang.

 

Antara pesanan yang sering kali diberikan kepada Muhammad Naufal yang juga merupakan penerima Anugerah Piala Al-Ghazali bagi kategori Pelajar Terbaik Akademik Tahun 2023 SM Sains Sains Sultan Iskandar adalah sentiasa menjaga solat dan melakukan amal ibadah.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor