JOHOR TERUS MENUNJUKKAN PRESTASI MEMBERANGSANGKAN


Pembentangan Belanjawan Johor 2023 oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Johor terus menunjukkan prestasi memberangsangkan meskipun dihimpit ketidaktentuan ekonomi, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurut beliau, keadaan ekonomi Johor kembali rancak dalam era pemulihan pada masa kini.

“Pada hemat saya, kerancakan kemajuan ekonomi Johor ini disumbangkan oleh empat faktor utama. Pertama, kedudukan politik Johor yang stabil. Kedua, polisi mesra pelabur yang digagaskan bagi memastikan Johor kekal menjadi destinasi utama pilihan pelabur.

“Ketiga, pembukaan semula sempadan antara Johor – Singapura mulai 1 April tahun ini, dan keempat, penambahbaikan sistem penyampaian awam dan pembangunan modal insan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023, hari ini.

Onn Hafiz berkata, hasil daripada empat faktor utama tersebut, prestasi ekonomi memberangsangkan telah diraih oleh Johor.

“Pertama, Johor mencatatkan penerimaan pelaburan tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak RM60.9 bilion. Kedua, jumlah eksport Johor sehingga September 2022 berjumlah RM246 bilion, peningkatan 42 peratus berbanding tahun 2021 iaitu sebanyak RM173 bilion.

“Ketiga, jumlah import pula telah meningkat kepada RM209 bilion iaitu peningkatan sebanyak 49 peratus daripada RM140 bilion pada tahun sebelumnya. Keempat, sektor pembinaan mencatatkan tanda-tanda pemulihan bagi separuh tahun ini dengan nilai berjumlah Rm5.68 bilion berbanding RM5.15 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Kelima, kadar pengangguran kini telah mencatatkan penurunan daripada 4.0 peratus pada suku ketiga tahun 2021 kepada hanya 2.5 peratus pada tahun ini. Kadar ini juga merupakan yang terendah berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor