MENTERI BESAR JOHOR TINJAU PEMBANGUNAN PARLIMEN JOHOR BAHRU


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendengar penerangan mengenai pembangunan Johor Bahru | Sumber Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Lawatan kerja ke Parlimen Johor Bahru, Ahad lalu, menjadi platform kepimpinan kerajaan negeri bersama agensi dan jabatan kerajaan meninjau pembangunan yang berlaku serta mendapatkan maklumat secara langsung kemajuan dan perancangan di parlimen tersebut.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau berpeluang beramah mesra dan menyantuni masyarakat di Parlimen Johor Bahru selain melawat beberapa tapak projek pembangunan yang sedang diusahakan.

“Sebagai salah satu daerah terbesar dengan kepesatan penduduk yang tinggi di negeri ini, sudah tentu Johor Bahru akan memerlukan perhatian yang lebih dari kerajaan negeri untuk pembangunannya terutama dari segi infrastruktur,” katanya.

Selain itu, ketika lawatan tersebut, Onn Hafiz turut mengumumkan peruntukan untuk dimanfaatkan bagi kesejahteraan masyarakat yang melibatkan usaha menaik taraf infrastruktur dan prasarana selain untuk kegunaan pengurusan rumah ibadat serta sekolah.

“Saya juga telah mengumumkan beberapa bantuan bagi menambah manfaat kepada masyarakat setempat. Ini termasuk RM1 juta untuk menaik taraf Medan Niaga Kampung Melayu; RM1 juta untuk menaik taraf lampu jalan di Jalan Langkasuka.

“RM2 juta bagi menaik taraf jalan utama dan perparitan di Jalan Sentosa Kampung Dato’ Onn, Jalan Kuning Taman Pelangi dan kawasan Larkin; RM1 juta untuk bina gelanggang bola jaring; RM1 juta untuk projek tebatan banjir di Sungai Stulang.

“RM400,000 dari kerajaan negeri dan RM90,000 dari Johor Corporation (JCorp) untuk membina Surau Darul Akhirah di Rumah Pangsa Larkin; RM120,000 untuk Kampung Baru Cina Ungku Mohsin; RM50,000 kepada Pengurusan Masjid Jamek Bandar Baru Uda serta RM50,000 kepada SMK Bandar Baru Uda,” katanya.

Beliau berharap peruntukan itu dapat membawa lebih banyak faedah kepada kehidupan seharian masyarakat Parlimen Johor Bahru.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor