SASAR 50 USAHAWAN IAT BERJAYA TINGKAT NILAI JUALAN SETIAP TAHUN


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip ketika berucap pada majlis | Sumber Facebook Dato’ Zahari Sarip.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor mensasarkan sekurang-kuranya 50 usahawan Industri Asas Tani (IAT) di negeri ini akan meningkatkan tahap nilai jualan masing-masing setiap tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip berkata, Johor mempunyai lebih 2,000 usahawan IAT pelbagai tahap yang berdaftar di bawah Jabatan Pertanian Negeri Johor.

“Produk usahawan IAT ini bukan sahaja mendapat tempat di Negeri Johor, tetapi di seluruh Malaysia malahan ada yang dieksport terutamanya ke Singapura.

“Kerajaan Negeri Johor mensasarkan sekurang-kurangnya 50 orang usahawan akan meningkat Tahap Nilai Jualan mereka setiap tahun. Kami mahu lebih ramai usahawan jutawan di dalam sektor IAT,” katanya sempena Seminar Usahawan IAT Jabatan Pertanian Negeri Johor Tahun 2022, kelmarin.

Zahari turut mengucapkan syabas kepada 141 usahawan IAT yang telah mengambil bahagian menyertai seminar itu dengan harapan penganjurnya memberikan manfaat kepada peserta.

“Tahniah juga saya ucapkan kepada 181 orang penerima Insentif Program Pembangunan IAT Negeri Johor Tahun 2022 dengan peruntukan sebanyak RM2,525,000.

“Moga insentif yang diberikan dapat membantu usahawan bagi mengembangkan perniagaan kepada skala yang lebih besar,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor