MENTERI BESAR LANCAR PEMASANGAN WIFI DI MASJID, SURAU


Kerajaan Johor melaksanakan inisiatif pemasangan kemudahan WiFi secara percuma di setiap masjid dan surau bagi manfaat jemaah khususnya golongan muda.

 

KLUANG — Kerajaan Johor melaksanakan inisiatif pemasangan kemudahan WiFi secara percuma di setiap masjid dan surau bagi manfaat jemaah khususnya golongan muda.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz berkata, langkah tersebut diharap dapat menarik ramai masyarakat untuk kembali mendekati masjid dan surau selain mengembalikan peranan rumah ibadat itu sebagai tempat rujukan umat Islam di negeri.

 

“Menerusi inisiatif ini, kerajaan negeri berhasrat untuk menjadikan semula masjid dan surau sebagai wadah pengmodenisasi dan tempat rujukan orang ramai khususnya anak muda di Johor untuk kembali ke masjid.

 

“Saya percaya, fungsi masjid dan surau sebagai tempat pengimarah harus tidak ketinggalan dalam arus perdana lebih-lebih lagi aktiviti kuliah agama, kelas tarannum, dan majlis zikir kini boleh diikuti menerusi atas talian,” katanya ketika Majlis Berbuka Puasa di Daerah Kluang, semalam.

 

Onn Hafiz berkata, Inisiatif Pemoden Pengimarahan Masjid diumumkan dalam Belanjawan Johor 2023 menyasarkan sebanyak 800 buah masjid dan surau bakal memperoleh kemudahan ini dalam tempoh lima tahun.

 

“Untuk tahun ini, kita akan memasang internet WiFi Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) di 160 buah masjid dan surau di negeri Johor iaitu 127 masjid dan 33 surau yang menelan belanja sebanyak RM470,404.80 meliputi kos sewaan selama 12 bulan dan kos pemasangan.

 

”Semua kos ini adalah dana yang diperuntukkan oleh MAIJ melalui peruntukan asnaf fi sabilillah,” tambahnya.

 

Sehingga 12 April lalu, kariah dari 19 masjid dan surau di negeri ini, menikmati kemudahan WiFi percuma berkenaan selepas kerja pemasangan disiapkan.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor