HOSPITAL PAKAR KPJ WILAYAH SELATAN SUMBANG RM1.035 JUTA


Sebanyak RM1.035 juta disalurkan melalui zakat perniagaan dan sumbangan kepada persatuan dan NGO oleh KPJ Healthcare Berhad menerusi hospital miliknya di negeri ini.

 

ISKANDAR PUTERI — KPJ Healthcare Berhad menerusi lima Hospital Pakar KPJ Wilayah Selatan membuat penyerahan zakat perniagaan bagi tahun 2022 berjumlah RM850,000.

 

Penyerahan dibuat kepada Jawatankuasa Zakat dan Fitrah Negeri Johor melibatkan Hospital Pakar KPJ Johor sebanyak RM250,000 diikuti Hospital Pakar KPJ Puteri (RM150,000), Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang (RM300,000), Hospital Pakar KPJ Kluang (RM50,000) dan KPJ Bandar Maharani (RM100,000).

 

Majlis penyerahan zakat perniagaan tersebut berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru yang disaksikan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim serta Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare, Norhaizam Mohammad.

 

Pada majlis sama, turut diadakan penyerahan sumbangan ramadan kepada tujuh persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) oleh tujuh hospital milik KPJ Healthcare di negeri ini.

 

Selain itu, KPJ Healthcare turut menyumbang RM150,000 kepada Dana Klinik Waqaf An-Nur yang telah disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Operasinya, Dato’ Mohamad Farid Salim.

 

Norhaizam berkata, KPJ Healthcare berbesar hati dapat meneruskan usaha kebajikan sosial dan memupuk kesejahteraan komuniti dalam rangkaian operasinya.

 

“Ini sejajar dengan matlamat kumpulan untuk mengukuhkan kelestarian perniagaan kami melalui penjagaan kebajikan masyarakat dan membantu lebih ramai insan yang memerlukan,” katanya.

 

Beliau memberitahu, sejumlah RM1.035 juta sumbangan disalurkan melalui zakat perniagaan dan sumbangan kepada persatuan dan NGO termasuklah Dana Klinik Waqaf An-Nur.

 

“Semoga usaha ini dapat kami teruskan pada masa hadapan bertepatan dengan janji ‘Care For Life’ dalam segenap operasi kami,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor