PAKEJ KESIHATAN ISTIMEWA KEPADA PEMBELI HARTANAH PERJIRANAN 13


Barisan kepimpinan JLand Berhad, KPJBDOSH dan JL Project Sdn. Bhd bersama dokumen perjanjian kerjasama yang ditandatangani | Sumber foto JLand.

 

ISKANDAR PUTERI — Johor Land Berhad (JLand) menawarkan pakej kesihatan istimewa kepada bakal pembeli hartanah baharu di Perjiranan 13, Bandar Dato’ Onn menerusi perjanjian kerjasama dengan Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn (KPJBDOSH).

 

Pengarah Bertanggungjawab JLand, Zamri Yusof berkata, kerjasama itu melibatkan empat komponen utama iaitu penyediaan khidmat pemeriksaan kesihatan, penggunaan kemudahan eksklusif di KPJBDOSH, pembangunan platform khas di aplikasi digital komuniti KITA (KITA App) dan usahasama dalam promosi dua hala.

 

“Menariknya lagi, satu butang panik akan dibangunkan dengan kerjasama KPJBDOSH di dalam KITA App yang membolehkan pembeli menghubungi secara terus kepada pihak hospital jika berlaku hal-hal kecemasan.

 

“Keistimewaan pakej ini akan dinikmati dan ditawarkan kepada para pembeli yang membeli hartanah baharu di Perjiranan 13, Bandar Dato’ Onn di mana projek ini akan dilancarkan tidak lama lagi.

 

“Inisiatif baharu ini akan bermula di Bandar Dato’ Onn yang merangkumi projek-projek lain selepas ini, sebelum diperluaskan ke kawasan pembangunan yang lain,” katanya.

 

Pada Januari lalu, JLand mengumumkan pelancaran 725 unit hartanah baharu pada tahun ini, bernilai lebih RM502.8 juta di Bandar Dato’ Onn, manakala 188 unit (RM88.6 juta) di Bandar Tiram dan 120 unit (RM65.5 juta) di Taman Mutiara Gading, dekat Batu Pahat.

 

Salah satunya merupakan pembangunan hartanah jenis kediaman dan komersial kelapan iaitu Perjiranan 13, Bandar Dato’ Onn di atas tanah berkeluasan 67.2 ekar dengan Nilai Pembangunan Kasar (NPK) lebih RM600 juta dan dijangka siap sepenuhnya enam tahun lagi.

 

Zamri berkata, pembangunan hartanah jenis kediaman di Perjiranan 13 meliputi empat fasa di mana fasa pertama mempunyai 211 unit rumah teres dua tingkat dijangka dilancarkan pada Julai ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Wilayah Selatan, Mohd Azhar Abdullah berkata, perjanjian kerjasama itu akan memberikan nilai tambah kepada KPJBDOSH dalam memperluaskan lagi skop perkhidmatan kepada masyarakat.

 

“Kita sentiasa merancang dan menambahbaik perkhidmatan sejak mula beroperasi pada 19 Februari 2019.

 

“Oleh itu, kita lihat peluang baharu melalui perjanjian ini di mana ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak antara JLand dan KPJ dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan dalam kalangan masyarakat khususnya di Bandar Dato’ Onn dan sekitarnya,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor