MKN JOHOR ANJUR PROGRAM BERSIH PANTAI, TAKLIMAT DASAR NEGARA


Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor mengadakan program gotong royong membersihkan pantai dan taklimat dasar keselamatan negara di Mersing / Gambar Ihsan MKN Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor telah mengadakan Program Gotong Rotong Membersihkan Pantai Peringkat Daerah Mersing di Teluk Gorek, Tanjung Resang, Mersing.

Pada program itu, MKN Johor dengan kerjasama Pejabat Daerah Mersing turut mengadakan Taklimat Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 yang turut dihadiri oleh pelbagai agensi kerajaan peringkat negeri dan persekutuan.

Dalam kenyataan di laman sosial rasmi Facebooknya, MKN Johor berkata program gotong royong itu dilaksanakan bagi memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti mengenai pentingnya usaha memelihara dan menjaga kebersihan pantai.

Ia bukan sahaja dapat mewujudkan persekitaran yang bersih, ceria dan selamat dikunjungi tetapi juga dapat mengurangkan pencemaran yang boleh menganggu gugat ekosistem marin.

Selain itu, ia secara tidak langsung dapat melaksanakan salah satu inisiatif di bawah Nilai Teras Keselamatan Negara 7: Pembangunan Mampan (Pemuliharaan Alam Sekitar).

Pada program yang turut dihadiri Ketua Pengarah MKN, Datuk Mohd Rodzi Md Saad itu turut diadakan Taklimat Dasar Negara 2021-2025.

Taklimat itu bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada kakitangan awam berkaitan dasar keselamatan termasuklah isu dan cabaran keselamatan terutama di kawasan perairan daerah Mersing.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor