ENAM PPS BEROPERASI SUSULAN BANJIR TIGA DAERAH


Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Mersing melakukan pemantauan banjir | Sumber Facebook APM Mersing.

 

ISKANDAR PUTERI — Jumlah mangsa banjir di Negeri Johor terus menunjukkan peningkatan dengan pengoperasian enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah yang terjejas akibat banjir.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah memaklumkan setakat jam 8 pagi tadi, keseluruhan sebanyak 48 keluarga terdiri 178 penduduk di Segamat, Kota Tinggi dan terbaharu, Mersing ditempatkan di enam PPS terbabit.

Mersing menjadi daerah terkini dilaporkan dilanda banjir dengan satu PPS dibuka iaitu Sekolah Agama Pangkalan Batu bagi menempatkan tiga keluarga terdiri 22 penduduk dari Kampung Lubuk.

Selain itu, sebuah lagi PPS dibuka di Segamat iaitu Dewan Komuniti Kampung Tasek untuk menempatkan tiga keluarga dan 11 penduduk dari Kampung Seberang Batu Badak.

PPS Dewan Muafakat Bandar Penawar di Kota Tinggi yang dibuka sejak 9.30 pagi semalam, merekodkan pertambahan jumlah mangsa iaitu 18 keluarga terdiri 58 penduduk dari Taman Desaru Utama, Bandar Penawar.

Manakala tiga PPS lain iaitu Balairaya Kampung Batu Badak dan Balairaya Kampung Kuala Paya di Segamat serta Dewan Kampung Baru Sungai Mas di Kota Tinggi tidak menunjukkan perubahan angka keluarga dan penduduk.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor