MODEL JOHOR JADI CONTOH, PERKHIDMATAN UMP DIPERLUAS KE SELURUH NEGARA

Kerajaan Persekutuan kini menanggung sepenuhnya kos Ubat Melalui Pos (UMP) sekali gus mengiktiraf keberkesanan inisiatif yang terlebih dahulu diperkenalkan oleh Kerajaan Johor sejak tahun 2024 bagi memudahkan urusan pesakit. | Foto arkib MDJ

 

#IskandarPuteri – Langkah Kerajaan Persekutuan menanggung sepenuhnya kos perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) di seluruh negara mulai Julai ini membuktikan pendekatan yang diterajui Johor sejak tahun 2024 adalah tepat, berkesan dan memenuhi keperluan rakyat.

 

Inisiatif yang dilaksanakan lebih awal oleh Kerajaan Johor itu diperkenalkan bagi memudahkan pesakit menerima bekalan ubat tanpa perlu hadir berulang kali ke hospital atau klinik kesihatan, sekali gus mengurangkan beban kos perjalanan serta menjimatkan masa, khususnya bagi golongan warga emas, individu yang mempunyai masalah pergerakan dan pesakit yang memerlukan rawatan berterusan.

 

Penerimaan rakyat terhadap perkhidmatan UMP turut menunjukkan keberkesanannya apabila daripada kira-kira 80,000 penghantaran ubat melalui pos yang direkodkan setiap bulan di seluruh negara, hampir 25,000 penghantaran melibatkan Negeri Johor.

 

Bagi memastikan manfaat itu terus dapat dinikmati rakyat, Kerajaan Johor telah memperuntukkan sebanyak RM900,000 pada tahun 2024 bagi menanggung kos penghantaran ubat melalui pos sebelum komitmen tersebut diteruskan pada tahun-tahun berikutnya.

 

Malah, menerusi Belanjawan Johor 2026, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.1 juta bagi memastikan inisiatif berkenaan terus dilaksanakan demi meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih mudah, cepat dan mesra pengguna.

 

Dalam pada itu, keputusan Kerajaan Persekutuan untuk memperluaskan serta menanggung kos perkhidmatan berkenaan di seluruh negara bukan sahaja memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat Malaysia, malah menjadi pengiktirafan terhadap usaha Johor yang bertindak sebagai perintis dalam memperkenalkan pendekatan tersebut lebih awal.

 

Pelaksanaan dasar itu juga mencerminkan komitmen Kerajaan Johor di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dalam memperkenalkan pelbagai pembaharuan yang memberi impak secara langsung kepada kesejahteraan rakyat serta memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

 

Dengan kos perkhidmatan UMP kini ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan, peruntukan yang sebelum ini disediakan oleh Kerajaan Negeri akan dapat diselaraskan semula kepada pelbagai usaha lain bagi memperkukuhkan sistem kesihatan negeri, termasuk menaik taraf fasiliti kesihatan, menambah baik peralatan dan kelengkapan perubatan serta memperluaskan program kesihatan awam.

 

Kerajaan Johor akan terus memperkenalkan pembaharuan dan inovasi dalam sektor kesihatan serta memperkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan memenuhi keperluan semasa.

 

Perkembangan tersebut sekali lagi membuktikan bahawa setiap dasar yang berjaya dilaksanakan di Johor bukan sahaja memberi manfaat kepada Bangsa Johor, malah berpotensi diperluaskan untuk dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.

 

#JohorSafeZone
#BangsaJohorSejahtera
#UbatMelaluiPos
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor