JOHOR GESA PROJEK E-ART DISEGERAKAN

Kerajaan Johor menggesa projek E-ART disegerakan sebagai penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan kesesakan trafik di Johor Bahru menjelang operasi RTS Link pada awal 2027, sementara langkah pengurusan trafik sedia ada hanya bersifat sementara. | Foto MEDKOM
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menggesa pelaksanaan projek Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (E-ART) disegerakan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar raya Johor Bahru menjelang operasi Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru-Singapura pada awal 2027.
Pelbagai langkah jangka pendek dan sederhana yang sedang dilaksanakan ketika ini termasuk memperluaskan kemudahan Park & Ride, pengurusan trafik pintar serta penyusunan semula pergerakan bas, teksi dan e-hailing di JB Sentral hanya berperanan sebagai langkah sementara bagi menguruskan aliran trafik.
Projek E-ART dilihat sebagai komponen utama yang berupaya menyuraikan kesesakan trafik susulan jangkaan peningkatan jumlah penumpang apabila RTS Link yang menghubungkan Bukit Chagar dan Woodlands North mula beroperasi kelak.
Walaupun projek berkenaan telah dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet pada tahun 2024, kerja-kerja fizikal masih belum dimulakan dan rakyat Johor masih menantikan kepastian mengenai garis masa pelaksanaannya.
Status semasa projek termasuk pengeluaran Letter of Award (LOA) turut menjadi perhatian memandangkan tempoh pelaksanaan E-ART dijangka mengambil masa antara empat hingga lima tahun selepas pembinaan dimulakan.
Keperluan mempercepatkan projek tersebut semakin mendesak kerana peningkatan pergerakan penumpang melalui RTS Link berpotensi memberi tekanan lebih besar kepada rangkaian jalan raya sedia ada sekiranya sistem pengangkutan awam bandar yang cekap dan berkapasiti tinggi tidak disediakan lebih awal.
Johor Bahru yang mempunyai kira-kira 1.8 juta penduduk juga berfungsi sebagai pintu masuk antarabangsa utama negara yang memerlukan perhatian dan keutamaan setara dalam aspek pembangunan infrastruktur pengangkutan awam.
Pelaksanaan projek E-ART dijangka memberi impak besar kepada kehidupan harian rakyat menerusi pengurangan kesesakan lalu lintas, peningkatan kesalinghubungan antara RTS Link dengan kawasan-kawasan utama di Johor Bahru serta menggalakkan lebih ramai penduduk menggunakan pengangkutan awam.
Terdahulu, perkara itu dibangkitkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ketika berucap pada Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai, hari ini. Hadir sama, YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan.
#JohorSafeZone
#EART
#RTSLink
#KomuterSelatan
#InfrastrukturRel
#PengangkutanAwam
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


