MPBP TERIMA KUNJUNGAN WAKIL TOURISM JOHOR
BATU PAHAT — Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) semalam menerima kunjungan wakil Tourism bagi sesi pemeriksaan Majestic Johor Standard 2022.
Dalam kenyataannya, MPBP menjelaskan kunjungan peringkat pertama ini membabitkan lima produk pelancongan di daerah Batu Pahat bagi tujuan pengauditan yang akan dilakukan oleh pihak jabatan pelancongan berkenaan.
Lima lokasi berkenaan ialah Gunung Banang, Pantai Minyak Beku dan Perigi Batu Pahat, Galeri Dato Onn, BP Bariani Power dan Biostar Resources (Kopi dan Kelulut) Peserai.
Lawatan itu diurusetiakan oleh Bahagian Pelancongan Jabatan Perancangan Pembangunan serta Bahagian Landskap, Jabatan Kejuruteraan dan Landskap MPBP.
Kunjungan sama turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Batu Pahat bagi tujuan penilaian dari aspek keselamatan.
Pihak Tourism Johor pula melakukan pemantauan dan semakan ditapak berkenaan membabitkan kriteria yang ditetapkan khususnya berkaitan aspek keselamatan fizikal, produk pelancongan serta kemudahan yang terdapat di setiap lokasi tersebut.
Menerusi pengauditan ini ia bertujuan untuk mengiktiraf lokasi pelancongan yang terdapat di daerah Batu Pahat di dalam kalendar pelancongan negeri Johor.
Ia sekali gus boleh digunakan sebagai panduan kepada pelancong yang berhasrat berkunjung ke Batu Pahat pada masa akan datang.
Pihak MPBP berharap lebih banyak produk pelancongan berpotensi di daerah Batu Pahat akan dapat terus diketengahkan dan secara tidak langsung dapat merancakan industri pelancongan di daerah berkenaan kelak.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor