PROSES PENAMAAN CALON PRU15 DI JOHOR BERJALAN LANCAR


Anggota polis membuat pemantauan dan kawalan keselamatan di 26 Pusat Penamaan Calon di Johor sempena Pilihan Raya Umum (PRU) 15 / Foto Ihsan Polis Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Proses penamaan calon Pilihan Raya Umum (PRU) 15 di 26 Pusat Penamaan Calon (PPC) di seluruh Johor berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Jurucakap Media PRU Johor 15 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintendan Ibrahim Mat Som, berkata secara keseluruhan tahap keselamatan semasa proses penamaan calon di Johor adalah dalam keadaan aman dan terkawal.

“Pada hari ini, proses penamaan calon PRU15 telah bermula di seluruh negeri ini bermula jam 9 pagi hingga selesai.

“Terdapat 96 individu mendaftarkan diri sebagai calon PRU di 26 PPC yang terlibat dalam proses penamaan calon kali ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ibrahim berkata, Polis Johor memberikan penghargaan terima kasih kepada semua jentera pilihan raya dan agensi yang terlibat atas kerjasama yang diberikan sepanjang proses pilihan raya yang berlangsung pagi tadi.

“Calon-calon yang terlibat dalam PRU kali ini dilihat mempamerkan sikap profesional sepajang proses penamaan calon berlangsung dan penyokong parti politik juga mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya yang ditetapkan.

“Sehingga kini tiada insiden yang tidak diingini dilaporkan berlaku dan proses penamaan calon pagi tadi berjalan dengan aman dan harmoni,” katanya.

Beliau berkata, Polis Johor menasihatkan semua parti, kumpulan penyokong dan orang ramai yang terlibat dalam PRU kali ini supaya mengikuti segala peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan sepanjang tempoh berkempen ini.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor