MPS ECO HOUSE GALAK BUDAYA KITAR SEMULA


Majlis Perbandaran Segamat (MPS) menggerakkan inisiatif MPS ECO House sebagai langkah untuk menggalakkan dan mempromosikan budaya kitar semula di kalangan warga kerja MPS. | Foto MDJ Nazreen Aimie

 

Amalan baik seperti kitar semula amat penting dalam membolehkan sisa pepejal dibuang dapat diuruskan dengan sebaiknya sekali gus menyokong agenda kelestarian.

 

Pelbagai pihak juga sudah mula cakna dengan menempatkan tong-tong kitar semula di kawasan terbuka bagi mendidik masyarakat tentang budaya tersebut.

 

Malah, Majlis Perbandaran Segamat (MPS) turut menggerakkan inisiatif MPS ECO House sebagai langkah untuk menggalakkan dan mempromosikan budaya kitar semula di kalangan warga kerja MPS.

 

Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan MPS dalam menyokong usaha memelihara kelestarian alam sekitar baik di dalam mahupun di luar kawasan pejabat dan akan diperluaskan kepada masyarakat setempat.

 

Sejak dimulakan pada Mei tahun ini, MPS ECO House berjaya mengumpul sisa sebanyak 377.4 kilogram (kg) merangkumi sisa buangan kertas, plastik, minyak masak dan sisa elektronik, membuktikan kesungguhan MPS dalam membudayakan amalan kitar semula.

 

Bagi menggalakkan penglibatan lebih ramai warga kerja MPS, program ‘Waste to Wealth @ WTW’ dilaksanakan pada setiap hari Rabu bagi mengumpul seterusnya menghantar sisa pepejal ke MPS ECO House untuk dikitar semula.

 

MPS juga merancang memperluaskan inisiatif ECO House ini ke sekolah-sekolah, institusi pendidikan tinggi, rumah ibadat dan pusat kegiatan masyarakat bagi memupuk amalan kitar semula dalam kalangan komuniti khususnya di Segamat.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor