MSNJ TERIMA DECATHLON SEBAGAI RAKAN STRATEGIK RUGJ


Pengarah MSNJ, Ts. Mohd Ekmaluddin Ishak, berkata kerjasama itu juga sekali gus menambah nilai jenama kedua-dua pihak dalam membudayakan sukan di peringkat akar umbi di Negeri Johor. | Foto MDJ, Imran Razib

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan peruncit barangan sukan terkemuka, Decathlon menjalin kerjasama menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) dalam penganjuran program RiseUp Gold Junior (RUGJ).

 

Ia secara tidak langsung yang menyaksikan syarikat berpangkalan dari Perancis itu menjadi rakan strategik MSNJ di dalam penganjuran RUGJ dalam memperkasakan sukan di negeri ini pada masa akan datang.

 

Pengarah MSNJ, Ts. Mohd Ekmaluddin Ishak, berkata kerjasama itu juga sekali gus menambah nilai jenama kedua-dua pihak dalam membudayakan sukan di peringkat akar umbi di Negeri Johor.

 

“Sebanyak 1,450 kit Decathlon telah diserahkan kepada peserta RUGJ di Velodrom Johor melibatkan enam jenis sukan antaranya silat, kanu, memanah, wushu, judo dan petanque.

 

“Program RUGJ ini adalah salah satu inisiatif MSNJ dalam memastikan Johor mempunyai kelompok atlet berbakat yang ramai sekali gus berada landasan untuk mencapai hasrat Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mahu Johor menjadi kuasa besar atau ‘Sports Powerhouse’,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Terdahulu, majlis menandatangani MoU antara MSNJ dan Decathlon telah berlangsung di Butik Decathlon Toppen Johor Bahru, pada Khamis lalu.

 

Hadir sama ialah Penolong Pengarah Seksyen Kecemerlangan Sukan Remaja, Muhammad Fauzi Bahren dan Penolong Pengarah Seksyen Komunikasi Strategik, Natasha Eryna Mohd Nasir.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor