AL-SALAM REIT, MRT CORP METERAI MOU BANGUNKAN JEJANTAS PEJALAN KAKI


MoU berkenaan ditandatangani Al-Salam REIT yang juga pemilik berdaftar KOMTAR JBCC menerusi pemegang amanahnya iaitu AmanahRaya Trustees Berhad manakala MRT Corp melalui anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Rapid Transit System Sdn. Bhd. (MRTS). | Foto MDJ, Imran Razib

 

JOHOR BAHRU — Al-Salam REIT, sebuah amanah pelaburan hartanah tersenarai milik majoriti Kumpulan Syarikat Johor Corporation (JCorp) hari ini, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp).

 

MoU berkenaan ditandatangani untuk membangunkan jejantas pejalan kaki yang menghubungkan KOMTAR JBCC ke jambatan terancang Stesen Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura di Bukit Chagar.

 

Pengerusi Damansara REIT Managers Sdn. Bhd. (DRMSB), Dato’ Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, jejantas pejalan kaki berhawa dingin sepanjang 42 meter dengan kelebaran empat hingga lapan meter KOMTAR JBCC itu dijangka dibuka pada tahun 2027.

 

Menurutnya, kemudahan berkenaan menawarkan laluan yang lancar, selamat dan mudah antara Stesen RTS Link Johor Bahru-Singapura di Bukit Chagar, KOMTAR JBCC serta kawasan sekitar Ibrahim International Business District (IIBD) di pusat bandar raya.

 

“Pembukaan Stesen RTS Link pada tahun 2027 ini akan meningkatkan kebolehcapaian KOMTAR JBCC yang membawa kepada lonjakan pengunjung. Kemasukan penumpang RTS Link sahaja dijangka meningkatkan jumlah pengunjung sebanyak dua kali ganda berbanding pra-pandemik.

 

“Inisiaitif ini sudah pasti akan membuahkan manfaat yang besar kerana trafik pejalan kaki yang meningkat akan memacu pertumbuhan perniagaan dan menghasilkan kadar sewa yang lebih tinggi. Kami berhasrat untuk merancakkan semula potensi pendapatan KOMTAR JBCC, memberi nafas baharu dalam operasinya dan merealisasi potensi sebenar,” jelas beliau.

 

MoU berkenaan ditandatangani Al-Salam REIT yang juga pemilik berdaftar KOMTAR JBCC menerusi pemegang amanahnya iaitu AmanahRaya Trustees Berhad manakala MRT Corp melalui anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Rapid Transit System Sdn. Bhd. (MRTS).

 

Hadir menyaksikan majlis menandatangai MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif AmanahRaya Trustees Berhad, Zainudin Suhaimi dan Pengarah Projek RTS Link, MRT Corp., Ir. Zulkifli Mohamed adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor.

 

Al-Salam REIT diuruskan oleh DRMSB, anak syarikat milik penuh Damansara Assets Sdn. Bhd. (DASB), sebuah unit perniagaan Bahagian Hartanah dan Infrastruktur Johor Corporation.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor