MUZIUM KOTA TINGGI, PUSAT SEJARAH AWAL NEGERI JOHOR
Bagi memastikan peninggalan sejarah Negeri Johor terutama membabitkan zaman era pemerintahan Kerajaan Johor Lama terus kekal dihayati oleh pelbagai lapisan masyarakat terutama generasi muda hari ini, Muzium Kota Tinggi adalah antara destinasi yang wajib untuk dikunjungi.
Muzium Kota Tinggi yang telah dibuka secara rasmi pada 30 Ogos 2002 oleh DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang ketika itu Tunku Mahkota Johor telah mengetengahkan pameran artifak dan informasi sejarah Kesultanan Melayu Johor bermula dari tahun 1528 hingga 1699.
Menurut Penolong Kurator Muzium Kota Tinggi, Murnira Mastar, terdapat kira-kira 600 artifak asli dari tempoh tahun yang sama (sezaman) dipamerkan di muzium berkenaan yang merangkumi peralatan persenjataan seperti keris, meriam, istinggar, lembing dan pelbagai artifak lain lagi.
Selain pameran artifak dan informasi sejarah, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan bagi menambah rasa keterujaan pengunjung seperti aktiviti berbasikal ke perkampungan sejarah iaitu Kampung Makam yang terletak tidak jauh dari bangunan Muzium Kota Tinggi dan seterusnya dapat melihat sendiri makam kesultanan terdahulu dengan lebih dekat.
Tidak hanya sebagai pusat berkaitan sejarah negara bangsa, Muzium Kota Tinggi juga berperanan sebagai pusat rujukan kepada pelajar universiti daripada pelbagai peringkat pengajian dari seluruh negara dan sering menerima kedatangan ramai pengkaji untuk mendapatkan sumber berkaitan sejarah Negeri Johor.
Waktu operasi:
Hari: Sabtu – Khamis (Tutup Jumaat)
Waktu: 9.30 pagi – 4.30 petang
Lokasi: Kampung Makam, 81900 Kota Tinggi, Johor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor