PERANCANGAN, TINDAKAN AWAL MENDEPANI BANJIR DI SEGAMAT


Pegawai Daerah Segamat, Mohd Masni Wakiman merangkap Pengerusi JPBD Segamat memaklumkan keutamaan sentiasa diberikan terhadap aspek menyelamat dan memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). | Foto MDJ Bayu Wira Anggara.

 

Mengambil iktibar daripada bencana yang berlaku sebelum ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat bertindak proaktif meningkatkan kesiap siagaan bagi menghadapi musim tengkujuh, terutama Monsun Timur Laut (MTL).

 

Jawatankuasa terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi itu sudah melaksanakan tindakan awalan seperti yang dirancang bagi mengurus dan mengawal banjir daripada menjadi lebih serius di daerah berkenaan.

 

Pegawai Daerah Segamat, Mohd Masni Wakiman merangkap Pengerusi JPBD Segamat memaklumkan keutamaan sentiasa diberikan terhadap aspek menyelamat dan memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

 

Pihak jawatankuasa juga memastikan keselesaan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS diikuti dengan keperluan dan bekalan barangan makanan mencukupi sepanjang mereka mendapatkan perlindungan.

 

Selain itu, bagi meningkatkan tahap kesediaan pasukan penyelamat dalam bentuk simulasi, JPBD Segamat turut melaksanakan latihan dan amali kesiap siagaan bagi menghadapi MTL di Empangan Juaseh, dekat Labis.

 

Mohd Masni menjunjung kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim atas kurniaan bantuan diberikan kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di daerah Segamat.

 

Setakat ini, tiga PPS beroperasi di daerah Segamat iaitu Balairaya Kampung Batu Badak, Balairaya Kampung Jabi serta Dewan Komuniti Kampung Tasek yang menempatkan lebih 50 penduduk di kawasan yang terjejas akibat banjir.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor