MY JOHOR WAY, SEMARAK SEMANGAT RAKYAT JOHOR


 

Oleh Badrul Kamal Zakaria

ISKANDAR PUTERI — “Saya mendapat ilham mencipta lirik ‘My Johor Way’ ini sebaik sahaja mendapat tawaran untuk membuat persembahan pada Majlis Pelancaran Media Digital Johor (MDJ),” kata Mohd Nur Azman Md Naim, 37.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Azman Naim 44 Mantra berkata, lagu itu menceritakan mengenai semangat Bangsa Johor dalam menghadapi cabaran dan meraih kejayaan.

“Sebaik sahaja saya mendapat tawaran, pihak penganjur meminta saya membuat satu lagu mengenai media sosial dan memberi tahu saya boleh buat apa sahaja asalkan ia kreatif dan menarik.

“Jadi saya saya terfikir dan pertama sekali muncul difikiran saya ialah keberangkatan DYAM Tunku Mahkota Johor pada majlis pelancaran MDJ ini dan hasilnya terbitlah karya ‘My Johor Way’ ini,” katanya ketika ditemui MDJ di sini, baru-baru ini.

Azman Naim berkata, bagi lagu kedua pula beliau mencipta lirik berkaitan media sosial dengan menggunakan melodi lagu ‘Bukan Kerana Nama’ daripada Ramli Sarip.

“Lagu ini adalah pesanan kepada rakyat Johor khususnya pengguna media sosial supaya jangan sebar berita palsu atau maklumat tidak sahih.

“Saya nasihatkan mereka menerusi lagu ini supaya mereka jangan sesekali dengar cerita yang bukan-bukan, semak dulu faktanya,” katanya.

Ditanya mengenai perasaannya dapat membuat persembahan dihadapan DYAM Tunku Mahkota Johor, anak kelahiran Kulai itu berkata, beliau sememangnya amat teruja.

“Saya dapat melihat Tunku agak terkejut apabila baginda menoleh kebelakang dan melihat saya. Mula-mula mungkin Tunku mendengar suara saya dan baginda pun mungkin tak sangka saya ada di majlis ini.

“Alhamdulillah, saya nampak tunku gembira dan saya juga rasa bangga kerana ini adalah kali pertama saya menyanyi di hadapan baginda. Walaupun saya pernah mengadap Tunku sebelum ini, baginda tidak pernah meminta saya untuk menyanyi,” katanya.

Ditanya mengenai MDJ, Azman berkata, beliau berharap agensi berita rasmi Johor ini dapat membantu rakyat negeri ini mendapat maklumat sahih dan tepat.

“Saya harap MDJ ini dapat mengekang berita palsu yang dilemparkan kepada kerajaan negeri dan mengeluarkan cerita sahih dan benar.

“Saya harap MDJ akan menjadi tumpuan rakyat Johor untuk mendapatkan maklumat yang sah pada masa akan datang,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor