PERCAYA MENTERI BESAR, EXCO KERAJAAN JOHOR BIJAK – SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR


Sumber Foto : Unit Media & Komunikasi (Medkom), Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar dan barisan EXCO Kerajaan Johor sudah dimaklumkan agar membezakan program rasmi kerajaan dan kempen politik kepartian sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’  Dr. Hj. Azmi Rohani.

Beliau bagaimanapun, percaya menteri besar bersama kepimpinan negeri bijak mengenai perkara itu sekali gus menghormati ketetapan untuk tidak mencampur aduk urusan rasmi dan kempen setelah diingatkan dalam mesyuarat EXCO yang lalu.

“Secara pentadbiran, menteri besar dan kepimpinan negeri telah dimaklumkan dalam mesyuarat EXCO yang lalu iaitu mereka tidak boleh berkempen dengan menggunakan imej dan lambang parti ketika program rasmi kerajaan negeri yang membabitkan pegawai-pegawai kerajaan.

“Perkara ini mereka telah sedia maklum dan saya percaya mereka bijak mengenai hal ini,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Writ Kepada Pegawai Pengurus PRU15 Johor dan Penyampaian Amanat, semalam.

Selain itu, Azmi berkata, pemantauan dilakukan kerajaan negeri bagi mengelak sebarang kesalahan dilakukan lebih menjurus kepada penggunaan lambang dan logo parti berbanding ucapan yang dibuat oleh mana-mana individu.

Ujarnya, langkah pemantauan bentuk fizikal itu bagi memastikan lambang dan logo parti tidak disalah guna dalam program rasmi sehingga boleh mendatangkan isyarat yang salah bahawa pegawai kerajaan cenderung pada parti politik.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor