OPERASI BANTU MANGSA BANJIR DILAKUKAN SEBAIK MUNGKIN
TANGKAK — Situasi banjir luar biasa, laluan terputus hubungan selain jarak perkampungan yang jauh antara satu sama lain menjadi kekangan kepada petugas mencari dan menyelamat mangsa banjir kali ini.
Bagaimanapun seperti kata pepatah ‘berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing’ antara pelbagai agensi kerajaan secara tidak langsung menyebabkan pengurusan banjir di Johor dapat diatasi dengan sebaik mungkin.
Pembantu Pembangunan Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)DaerahTangkak, Azmi Abd Raob, berkata situasi banjir kali ini agak luar biasa apabila berlaku peningkatan jumlah mangsa banjir secara drastik susulan hujan lebat berterusan, selain limpahan air dari Sungai Muar.
“Berbeza dengan kejadian banjir sebelum ini, kawasan yang dilanda banjir didapati berselerak dengan jarak antara satu ke satu kampung lain yang terjejas banjir agak jauh. Ia belum ditambah dengan beberapa jalan raya yang terputus akibat ditenggelami banjir menyebabkan operasi menyelamat mangsa menjadi sedikit perlahan berikutan tidak dapat dilalui kenderaan.
“Mujur juga kita mempunyai kesepaduan dalam operasi yang digerakkan di peringkat daerah dan negeri hingga menyebabkan operasi bencana dapat dikatakan dilaksanakan dengan lancar walaupun menghadapi rintangan luar jangka berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Agama Felda Sri Jaya di sini, hari ini.
Azmi berkata, kejadian banjir luar biasa menyebabkan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terpaksa bertungkus lumus berikutan kekurangan tenaga kerja dalam menghadapi situasi banjir kali ini.
“Selain menumpukan pengurusan di PPS bersama agensi kerajaan lain, kakitangan JKM juga akan keluar membuat rondaan bagi memastikan mereka yang terjejas banjir akan mendapat perhatian yang sewajarnya.
“Alhamdulillah, buat masa ini kami dan juga rakan-rakan dari agensi kerajaan lain sudah membuat yang terbaik dan bantuan kepada mangsa banjir juga dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata, disebabkan keadaan banjir luar biasa yang melanda kawasan ini menyebabkan PPS dipindahkan ke kawasan Felda Sri Jaya yang mempunyai kemudahan yang lebih baik berbanding lokasi lain.
“Kalau PPS dibuka di Felda Sri Jaya bermakna keadaan agak serius kerana pada kebiasaannya PPS dibuka di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kung Yu di Kampung Kundang Ulu dan SJKC Pei Eng di Kampung Gersik.
“Atas persetujuan Pegawai Daerah Tangkak selaku Pengerusi Bencana Daerah dan juga kedua-dua PPS berhampiran dengan sungai, justeru semua mangsa banjir di pindahkan ke PPS Felda Sri Jaya yang dilaksanakan demi keselamatan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Bukit Serampang, Mohd Harosani Sawahid, berkata tidak timbul isu kelewatan bantuan kerana setiap PPS adalah bersifat sementara.
Katanya, selain itu keutamaan pihaknya dan agensi kerajaan yang lain adalah untuk menyelamatkan nyawa rakyat yang terjejas banjir.
“PPS adalah pusat sementara dan tidak semestinya lengkap (kemudahan bantuan mangsa banjir). Banjir luar biasa seperti ini dengan jumlah mangsa yang ramai dan kekurangan kakitangan (menjadi halangan operasi bencana).
“Seperti hari ini, sebelum ini PPS dibuka di Kundang Ulu tetapi selepas PPS itu dinaiki air, kita terpaksa pindahkan mangsa banjir ke PPS Felda Sri Jaya. Sekarang ini dianggarkan lebih 300 mangsa yang berlindung di PPS SA Felda Sri Jaya, SMK Tun Seri Lanang dan SK Felda Sri Jaya (semuanya di Felda Sri Jaya) dan mungkin ada pertambahan lagi (bilangan mangsa).
“Seperti yang saya katakan, kita diperingkat operasi awal bencana ini adalah untuk mengutamakan nyawa rakyat dahulu, yang lain Insyallah (bantuan) akan menyusul kemudian,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor