TERIMA KASIH WIRA MISI BANTUAN BANJIR : MENTERI BESAR


Menteri Besar Johor berkesempatan meninjau persiapan tambahan yang dilakukan oleh pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Pejabat APM Johor Bahru, semalam.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam melancarkan pengurusan sepanjang tempoh bencana banjir ketika ini.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, seramai 12,975 personel daripada pelbagai jabatan, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertugas bagi misi bantuan banjir.

 

“Mereka bekerja siang dan malam untuk menunaikan amanah dan tanggungjawab mereka. Sama-samalah kita menghargai mereka. Hanya Allah SWT yang mampu membalas pengorbanan wira-wira yang tidak didendangkan ini,” kata beliau di Facebook rasminya.

 

Semalam, Menteri Besar Johor berkesempatan meninjau persiapan tambahan yang dilakukan oleh pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Pejabat APM Johor Bahru.

 

Selain menyampaikan kata-kata semangat, beliau turut mendoakan keselamatan serta meminta petugas untuk sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan diri sewaktu berbakti kepada mangsa banjir.

 

“Insha Allah jasa bakti kalian, termasuk agensi-agensi serta sukarelawan akan diberkati dan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Terima kasih wira-wira sekalian,” kata beliau.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor