OPS KHAS KAWASAN KRITIKAL DILAKSANAKAN : MENTERI BESAR JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah bermesyuarat bersama Pegawai-Pegawai Daerah dan pelbagai agensi berkaitan untuk koordinasi gerak kerja di Bilik Gerakan Bencana Banjir Negeri Johor, hari ini.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor terus komited membantu rakyat negeri ini, yang terjejas akibat banjir terutama di kawasan kritikal dengan memastikan pengurusan bencana berjalan dengan lancar.

 

Bagi menjayakan semua itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah bermesyuarat bersama Pegawai-Pegawai Daerah dan pelbagai agensi berkaitan untuk koordinasi gerak kerja di Bilik Gerakan Bencana Banjir Negeri Johor, hari ini.

 

“Memasuki hari keempat Johor dilanda bencana banjir, saya sekali lagi memanggil mesyuarat koordinasi gerak kerja bersama-sama Pegawai-Pegawai Daerah dan agensi-agensi di Bilik Gerakan Bencana Banjir Negeri Johor.

 

“Ops khas di kawasan yang kritikal sedang dan akan diteruskan untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Permasalahan dan solusinya juga diputuskan semasa mesyuarat ini,” kongsi beliau di Facebook rasminya, hari ini.

 

Menteri Besar Johor memberitahu menjadi tekad kerajaan negeri agar persiapan dan penyelarasan pengurusan bencana banjir dilaksanakan dengan sewajarnya, berikutan amaran hujan berterusan di beberapa daerah.

 

“Memandangkan kita telah menerima laporan awal dari Jabatan Meteorologi Malaysia tentang kemungkinan gelombang baharu susulan amaran hujan lebat tahap bahaya di beberapa daerah, adalah menjadi tekad agar persiapan dan penyelarasan sewajarnya dilakukan.

 

“Ucapan terima kasih kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Dato’ Noh Ibrahim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Kesukarelawanan) Dato’ On Jabbar; Pegawai-Pegawai Daerah dan agensi-agensi terlibat yang bekerja siang dan malam membantu mangsa banjir,” kata beliau.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor