MENTERI BESAR JOHOR HARGAI KEPRIHATINAN KERAJAAN PERSEKUTUAN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali yang mengunjungi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) IKBN Pagoh, hari ini | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas keprihatinan terhadap bencana banjir melanda di negeri ini.

 

Terdahulu, beliau bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali yang mengunjungi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) IKBN Pagoh, hari ini.

 

“Selain beliau (Armizan), saya juga amat menghargai keprihatinan Menteri-Menteri Persekutuan lain yang sudi turun ke Negeri Johor untuk melihat sendiri dan membantu kami di Johor.

 

“Semoga hubungan erat antara Negeri dan Persekutuan ini dapat diteruskan demi kesejahteraan dan kebajikan Bangsa Johor terutamanya disaat-saat getir seperti ini,” kata beliau.

 

Selain itu, Menteri Besar Johor juga berkesempatan meninjau keadaan semasa mangsa banjir di PPS Kompleks Sukan MSN Pagoh.

 

Turut bersama beliau, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, yang merupakan ADUN Bukit Pasir.

 

“Syabas juga saya ucapkan kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia & Keusahawanan), Dato’ On Jabbar dan semua petugas dari pelbagai agensi dan NGO termasuklah Southern Volunteers yang tidak mengenal erti penat lelah dalam memastikan kebajikan mangsa-mangsa banjir terjaga,” kata beliau.

 

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Armizan memberitahu antara cabaran utama dihadapi berkaitan pengurusan bencana banjir adalah kekangan dalam penghantaran bantuan makanan kerana jalan perhubungan yang terputus akses.

 

“Aliran air yang terlalu deras dan terdapat jalan raya yang terputus hubungan menyebabkan kesukaran petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke lokasi berkenaan.

 

“Walaubagaimanapun perkara ini telah dapat diatasi dengan bantuan segera oleh anggota penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” kata beliau.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor