ORANG MUDA PERLU BIJAK MENGURUS KEWANGAN


Perunding Kewangan, Shamsuddin Kadir berkata, golongan terbabit seharusnya fokus memiliki hartanah berbanding keinginan peribadi yang bukan menjadi keperluan. | Foto MDJ, Nurina Aisyah.

 

JOHOR BAHRU — Orang muda dinasihatkan supaya bijak menguruskan kewangan di usia berkenaan terutama melibatkan pembelian hartanah.

 

Perunding Kewangan, Shamsuddin Kadir berkata, golongan terbabit seharusnya fokus memiliki hartanah berbanding keinginan peribadi yang bukan menjadi keperluan.

 

“Orang muda tidak perlu miliki gajet yang canggih melainkan anda pencipta kandungan digital sebaliknya usahakan untuk membeli rumah dahulu.

 

“Seperti inisiatif daripada Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) ini yang menyediakan perumahan di bawah harga RM150,000 sebenarnya sudah memadai dan murah sangat,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor.

 

Beliau berkata demikian menyampai perkongsian mengenai Pengurusan Kewangan Anak Muda: Beli Rumah Guna Emas pada Ekspo Hartanah Johor 2023 di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall, di sini.

 

Shamsuddin turut menggalakan orang muda supaya mengumpul emas untuk dijadikan sebagai modal apabila ingin membeli hartanah pertama.

 

Beliau turut mengingatkan orang muda agar tidak mudah terpengaruh membeli kereta berjenama antarabangsa yang akhirnya akan menjadi pelaburan ‘susut nilai’.

 

“Ramai anak muda rasa harga rumah mahal tetapi tidak, sebab itu hari ini kita mahu ajar mereka bagaimana untuk membeli rumah menggunakan emas dalam masa setahun atau dua tahun,” katanya.

 

Selain itu, Shamsuddin menyifatkan penganjuran Ekspo Hartanah Johor 2023 menjadi platform terbaik kepada anak muda di negeri ini, supaya lebih terbuka dalam membuat pilihan melibatkan pembelian hartanah pertama.

 

“Ini adalah tempat (ekspo) untuk kita kumpul maklumat dan rangka strategi untuk beli rumah, dan jangan terpengaruh dengan ibu bapa kerana kita perlu jadi lebih bijak,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor