TUNKU PUTERA JOHOR – LUCA STOLZ RAIH PODIUM DI FANATEC GT WORLD CHALLENGE ASIA DI SUZUKA


Kejayaan menduduki tempat kedua itu sekali gus menyaksikan Johor Motorsports Racing melonjak ke kedudukan kedua keseluruhan, 10 mata di belakang pendahulu dengan perlumbaan masih berbaki separuh saingan. | Foto ihsan Triple Eight Race Engineering

 

ISKANDAR PUTERI –– Johor Motorsports Racing berjaya meraih kedudukan podium dalam perlumbaan Fanatec GT World Challenge Asia di Suzuka, Jepun menerusi gandingan pemanduan mantap Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Luca Stolz.

 

Kejayaan menduduki tempat kedua itu sekali gus menyaksikan Johor Motorsports Racing melonjak ke kedudukan kedua keseluruhan, 10 mata di belakang pendahulu dengan perlumbaan masih berbaki separuh saingan.

 

Stolz yang memandu jentera Mercedes-AMG dikuasakan oleh Triple Eight Race Engineering bermula di barisan hadapan dalam perlumbaan yang berlangsung pada Ahad lalu.

 

Permulaan baik dari Stolz menyaksikan pakar perlumbaan ‘endurance’ itu mengatur langkah untuk mengejar pendahulu dan berjaya menempatkan diri di tempat kedua, sekali gus memberi tekanan kepada pendahulu perlumbaan sebelum berhenti untuk mandatori ‘pit-stop’.

 

Sementara itu, perlumbaan itu juga menyaksikan Tunku Abu Bakar juga bersaing baik membawa jentera #88 dipandunya menduduki tempat kedua yang secara tidak langsung memastikan gandingan mereka kekal bersaing bagi kejuaraan tersebut.

 

Tunku Abu Bakar berkata, permulaan baik ditunjukkan oleh Stolz membolehkan jurang yang selesa dimiliki dengan pelumba yang lain sebelum beliau meneruskan pemanduan dan dapat mengekalkan kedudukan podium.

 

“Perlumbaan pada Sabtu agak sejuk dan ia beri kelebihan kepada tayar tetapi hari ini (Ahad) sedikit mencabar kerana kami berdepan dengan cuaca yang sedikit panas,” katanya.

 

Sementara itu, Luca Stolz berpuas hati dengan keputusan yang berjaya diraih oleh pasukan Johor Motorsport Racing khususnya pada perlumbaan kedua sambil menyasarkan kedudukan podium untuk perlumbaan seterusnya di Motegi, Jepun.

 

“Kami tidak bernasib baik pada perlumbaan pertama tetapi keputusan perlumbaan pada Ahad memberi mata yang cukup berharga untuk kita terus mengejar pendahulu kejuaraan,” ujarnya.

 

Keputusan tersebut juga menyaksikan Johor Motorsports Racing menduduki tangga ketiga dalam kategori pasukan.

 

Dalam perlumbaan sama, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan rakan sepasukan, Broc Feeney menamatkan perlumbaan di tempat ke-18.

 

Saingan Fanatec GT World Challenge Asia akan bersambung di Motegi, Jepun pada 21 hingga 23 Julai ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor