PALESTIN, JOHOR BERSAMAMU
Keprihatinan Kerajaan Johor terhadap perjuangan dan penderitaan rakyat Palestin terus terbukti dengan penganjuran Program Semarak Subuh Perdana dan Tabung Kasih Johor-Palestin 2.0 bagi tahun 2024 yang berlangsung di Masjid Jamek Taman Kasih, Kluang, hari ini.
Kasih Bangsa Johor kepada Palestin jelas terpancar apabila sebanyak RM2.5 juta berjaya dikumpulkan merangkumi dana daripada Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau serta Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), termasuk sumbangan orang ramai yang diserahkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor kepada wakil NGO terlibat.
Bantuan disalurkan melalui empat bentuk iaitu bungkusan barangan keperluan, makanan bermasak, persediaan makanan asasi dan bantuan khemah di kem pelarian Gaza, Palestin membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperjuangkan keadilan serta hak asasi manusia.
Muath Omar, Penyelaras Hal Ehwal dan Media Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), turut menghargai inisiatif ini yang menunjukkan keprihatinan tinggi rakyat Malaysia, khususnya Bangsa Johor, dalam memperkukuh ukhuwah dan empati terhadap nasib rakyat Palestin.
Terdahulu, lebih 3,500 rakyat Johor berhimpun dan berarak, menzahirkan solidariti tanpa belah bahagi terhadap kekejaman zionis, membawa mesej sokongan moral kepada rakyat Palestin yang masih berdepan konflik berpanjangan.
Hadir sama, YB Tan Sri Dato’ Dr. Hj. Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor; YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor; YBhg Mohd Rafi Abdullah, Pegawai Daerah Kluang dan Jismi Johari, Presiden Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Malaysia (MAHAR).
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor