PANTI BIRD RACE JOHOR BAKAL JADI ACARA TAHUNAN


Tugu Suaka Burung Panti di Hutan Simpan Panti, Kota Tinggi. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

308 spesies burung dan sembilan spesies burung yang ‘jarang-jarang’ dapat kita lihat menjadikan acara Panti Bird Race Johor 2024 yang melabuhkan tirainya semalam, unik dan mempersonakan.

 

Keunikan itu juga menyebabkan Kerajaan Negeri Johor menerusi Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) akan menjadikan acara Panti Bird Race Johor sebagai ‘Big Year’ dan seterusnya dijangka sebagai acara tahunan dalam Kalendar Pelancongan akan datang.

 

Pada inisiatif penganjuran edisi pertama itu berjaya menarik seramai 117 peserta dari dalam dan luar negara sekali gus menyaksikan usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam menjadikan lokasi Suaka Burung Panti sebagai salah satu produk eko-pelancongan untuk menarik lebih ramai peminat burung tempatan dan antarabangsa menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

 

Sejak diwartakan pada 2008, Suaka Burung Panti yang berkeluasan 1,800 hektar di Hutan Simpan Panti ini menjadi tempat perlindungan pelbagai spesis burung dan beberapa unggas ‘rare’ seperti burung Rimba Dahan, Merbah Hitam Putih dan Merah Mata, selain burung ikonik Hutan Simpan Panti iaitu Rimba Malaysia yang kebiasaannya dapat dilihat sekitar April dan Mei setiap tahun.

 

Lebih menarik, hutan semulajadi ini juga turut menjadi habitat beberapa mergastua yang dilindungi seperti gajah, beruang matahari, kijang, harimau belang, harimau kumbang dan lima spesis harimau lain yang turut disenaraikan dalam rekod di bawah pengawasan pihak JPNJ di sekitar Hutan Simpan Panti ini.

 

Terdahulu, YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor hadir bagi merasmikan Majlis Penutupan Panti Bird Race Johor 2024 di Suaka Burung Panti, Hutan Simpan Panti, Kota Tinggi.

 

Turut Hadir, YBhg. Syed Norul Shahril Syed Nasir, Pentadbir Tanah Daerah Kota Tinggi, YBhg. Dato’ Hj. Salim Aman, Pengarah JPNJ dan YBrs. Vincent Chow, Presiden Malaysian Nature Society (MNS).

 

#BigYear
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor