AKSES KEBAJIKAN GOLONGAN AUTISME AKAN DIPASTIKAN SETARA


Majlis Perasmian Sambutan Bulan Kesedaran Autisme Peringkat Negeri Johor di Komtar JBCC. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Sempena Bulan Kesedaran Autisme Sedunia 2024 yang disambut pada 2 April lalu, Kerajaan Negeri Johor menerusi Yayasan Johor Corporation (JCorp) menyalurkan sumbangan sebanyak RM70,000 kepada enam jabatan dan agensi yang menguruskan golongan berkenaan.

 

Antara jabatan yang menerima sumbangan berkenaan ialah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Hospital Permai, Johor Bahru, Persatuan Kanak-Kanak Islam Johor Bahru (PKAIJB), Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), SEA Serene Early Academy Johor Bahru dan Xcelerator Autism Centre.

 

Meskipun jumlah Orang Kurang Upaya (autisme) berdaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor (JKMJ) meningkat daripada 520 pada 2019 kepada 1,556 pendaftaran pada tahun lalu, Kerajaan Johor akan terus membela golongan terbabit menerusi akses kebajikan yang adil dan saksama.

 

Bertemakan ‘Breaking Barriers, Empowering Autistic Voices’, sambutan bulan kesedaran autisme ini bertujuan untuk menghapuskan stereotaip, spektrum dan stigma masyarakat terhadap pesakit autistik selain ia diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mewujudkan persekitaran yang mesra autisme pada masa akan datang.

 

Justeru itu, Yayasan JCorp selaku penggerak inisiatif itu menekankan aspek pendidikan dan kesejahteraan komuniti menerusi Tabung YJC Care bagi mengumpul dana bagi menampung kos pengesanan awal individu autisme terutamanya daripada golongan B40.

 

Terdahulu, YB Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor hadir merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Autisme Peringkat Negeri Johor di Komtar JBCC.

 

Turut hadir, YBrs. Rozaini Mohd Sani, Pengerusi Yayasan JCorp dan YBhg. RN Pathmanathan, Pengarah JKMNJ.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor