PASUKAN PENGURUSAN KKM AKAN TINJAU KEADAAN HSA & HSI


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Johor di Kluang, semalam. | Foto MDJ Imran Razib

 

KLUANG — Pasukan Pengurusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diketuai oleh Pemangku Ketua Setiausaha KKM, Dato’ Sri Norazman Ayub akan mengadakan lawatan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI), minggu ini.

 

Ia bagi meninjau sendiri keadaan operasi di kedua-dua hospital yang sibuk di Johor, selain bagi mendapatkan jalan penyelesaian terhadap isu kesesakan dan kekurangan staf kesihatan bagi menyediakan rawatan kepada pesakit.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata pihaknya telah menerima maklum balas positif daripada pihak KKM selepas mengadakan kunjungan hormat bersama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada minggu lalu bagi melaporkan keadaan fasiliti kesihatan di Johor.

 

“Semasa kunjungan bersama Menteri Besar pada minggu lalu, Kerajaan Negeri telah menjemput pihak KKM untuk turun ke HSI dan HSA untuk melihat sendiri kekangan dan kekurangan yang dihadapi oleh kedua-dua hospital.

 

“Pihak KKM telah memberi maklum balas yang positif dan akan turun ke Johor pada 31 Mei nanti dengan pemangku KSU dan pasukan pengurusan KKM sendiri akan turun padang,” katanya.

 

Tambah Tian Soon, KKM juga akan mencari jalan penyelesaian terhadap isu kekurangan 2,800 staf kesihatan di Negeri Johor yang telah disampaikan oleh Menteri Besar tempoh hari.

 

“Cadangan-cadangan yang dibawa oleh pihak Kerajaan Negeri juga akan diteliti oleh pihak KKM dan kita berharap akan ada berita baik dari mereka demi kebajikan rakyat Johor,” tambahnya.

 

Minggu lalu, Onn Hafiz bersama-sama Tian Soon mengadakan pertemuan bersama Pemangku Ketua Setiausaha KKM itu di Kuala Lumpur.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor