PAYA BAKAU PENYIMPAN KARBON UNGGUL
Hutan paya bakau biasanya ditemui di kawasan berlumpur di muara sungai dan tepi pantai yang ditumbuhi pokok bakau berperanan penting dalam keseimbangan ekosistem selain berfungsi sebagai habitat semula jadi spesis flora dan fauna serta kawalan banjir mahupun hakisan pantai.
Bagi Dr. Ahmad Aldrie Amir, Pensyarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hutan paya bakau menjadi habitat untuk kepelbagaian spesis tumbuhan, haiwan dan mikroorganisma sama seperti manusia yang memerlukan rumah sebagai tempat berlindung.
Keistimewaan hutan paya bakau terdiri daripada pelbagai spesis pokok bakau seperti Bakau Kurap, Bakau Tumu dan sebagainya adalah berfungsi menyediakan makanan dan ubat-ubatan untuk kegunaan manusia serta memainkan peranan dalam kitaran ekosistem semula jadi.
Dari segi peranan lain, hutan paya bakau bertindak sebagai penyimpan karbon yang unggul yang menjadi perbincangan dalam kalangan masyarakat global yang mengambil berat berkenaan krisis perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti yang melanda dunia.
Beliau yang juga Saintis Residen di Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) khusus menjalankan kajian dan penyelidikan ekosistem hutan bakau, merakamkan penghargaan kepada pihak perbadanan atas kepercayaan diberikan bagi membantu memelihara dan memulihara khazanah alam tersebut di negeri ini.
Dr. Ahmad Aldrie juga berharap usaha berterusan yang dilakukan PTNJ mendidik masyarakat pelbagai lapisan usia dalam memastikan habitat hutan paya bakau terus terjaga dan semakin bertambah demi keseimbangan ekosistem alam semula jadi serta meningkatkan hasil tangkapan nelayan.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor