PBT DI JOHOR MULA KELUARKAN PERMOHONAN PERMIT IKLAN PILIHAN RAYA


Notis permohonan permit iklan pilihan raya yang dikeluarkan oleh beberapa PBT di Johor / Foto Ihsan MBPG.

 

ISKANDAR PUTERI — Demam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kian terasa apabila beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mula menerbitkan notis pemberitahuan berkaitan permohonan permit iklan pilihan raya.

Tinjauan MDJ hari ini mendapati tiga PBT iaitu Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) sudah memaparkan notis pemberitahuan berkenaan di laman sosial rasmi masing-masing.

Permohonan permit iklan pilihan raya bagi kawasan pentadbiran MBPG akan mula dibuka mulai esok hingga 5 November ini membabitkan kawasan Parlimen P158 Tebrau dan P159 Pasir Gudang.

Setiap calon atau parti yang bertanding dikehendaki membayar wang deposit sebanyak RM5,000 beserta bayaran proses sebanyak RM33 bagi setiap permohonan yang perlu dibayar di Kaunter Bayaran MBPG.

Sementara itu, MPM yang menjadi PBT yang mentadbir tiga kawasan Parlimen iaitu P143 Pagoh, P145 Bakri dan P146 Muar juga sudah mula membuka permit itu berkuat kuasa hari ini hingga 6 November depan.

Dalam notis pemberitahuan itu, setiap parti yang bertanding perlu membayar wang deposit RM5,000 beserta RM30 sebagai bil proses permohonan.

Bagi MPP pula, permohonan permit yang sama turut dibuka mulai hari ini hingga 5 November depan dengan jumlah bayaran deposit yang sama.

Dua kawasan Parlimen yang berada dalam pentadbiran MPP ialah P156 Kota Tinggi dan P157 Pengerang.

Semua urusan berkaitan permohonan permit iklan pilihan raya itu boleh dilakukan oleh calon atau wakil calon atau wakil parti yang bertanding pada PRU kali ini dengan membawa dokumen yang disahkan ke kaunter bayaran di PBT masing-masing.

Difahamkan, beberapa PBT lain di negeri ini akan memuat naik notis yang sama dalam tempoh terdekat untuk membolehkan setiap calon atau parti yang bertanding pada PRU15 akan dapat menaikan iklan kempen pilihan raya mereka kelak.

Untuk rekod, PRU15 di Johor kali ini unik kerana buat pertama kali ianya diadakan secara berasingan berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk memilih ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dilaksanakan pada Mac lalu.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor