JDT MUDAH SINGKIR PJ CITY FC AKSI PIALA MALAYSIA


Penyerang prolifik JDT, Bergson da Silva diasak oleh dua pemain PJ City FC dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim | Sumber Facebook JOHOR Southern Tigers.

 

ISKANDAR PUTERI — Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak kemenangan saingan Piala Malaysia 2022 dan mara ke peringkat suku akhir selepas menewaskan PJ City FC 2-0 dalam perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan merekodkan agregat jaringan 6-0 ke atas pasukan kendalian P. Maniam dalam pertemuan pusingan 16 piala berprestij itu.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, anak buah Hector Bidoglio mempamerkan aksi bertenaga menguasai keseluruhan permainan dan berjaya mengekang asakan pasukan pelawat.

Penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva mencetak nama selaku penjaring gol pertama pasukan pada minit ke-4 menerusi sepakan deras dari luar kotak penalti yang menerjah ke gawang lawan.

Gol kedua tuan rumah dijaringkan oleh pemain gantian Fernando Forestieri pada minit ke-73 apabila mudah menewaskan Kalamullah Al-Hafiz selepas menerima ‘thru pass’ daripada Bergson.

Dalam perlawanan pertama di Stadium Bandaraya Petaling Jaya pada 26 Oktober yang lalu, JDT mencatatkan kemenangan besar 4-0 ke atas PJ City FC sekali gus membawa bekalan selesa ke Johor Bahru.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor