PDRC PASTIKAN PEMAJU KOMITED BINA RMMJ


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menerusi Jawatankuasa Perancangan, Pembangunan dan Rekabentuk (PDRC) sentiasa memastikan pemaju terus komited untuk membina Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

 

EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, sejak Jun hingga Disember ini, sebanyak lapan persidangan telah dipengerusikannya.

 

Terbaharu, menurutnya, pada 19 Disember lalu, antara rekod terlama persidangan berlangsung iaitu lebih enam jam bagi memastikan komitmen pemaju membina RMMJ demi rakyat Johor.

 

Antara peranan utama PDRC adalah memanggil pemaju untuk PDRC menetapkan sasaran masa serta penyelesaian supaya projek tertangguh dan baharu RMMJ dapat diteruskan dengan kadar segera.

 

“Jawatankuasa ini bukan hanya menetapkan dan mengikat garis masa untuk pemaju, tetapi juga untuk semua agensi yang terlibat dalam pembinaan RMMJ dengan kaedah luar kotak agar segala isu kelewatan dapat dielakkan.

 

“Sehingga 19 Disember 2022 yang lalu, saya telah bertemu dengan 21 Pemaju perumahan utama di Johor yang melibatkan Projek Perumahan Mampu Milik di sembilan daerah seluruh Johor.

 

“Daripada lapan siri persidangan ini, pemaju telah komited membina 11, 838 unit rumah yang berharga RM150,000 ke bawah,” katanya menerusi siaran dimuat naik dalam Facebook rasminya, hari ini.

 

Dalam posting sama, turut dimuat naik video berdurasi 1 minit 20 saat memaparkan rangkuman lensa persidangan PDRC melibatkan pemaju dan pelbagai agensi dan jabatan berkaitan yang dipengerusikan olehnya.

 

Mohd Jafni berkata, PDRC akan terus berperanan sebagai sebuah jawatankuasa yang memikul amanah Jihad Perumahan Mampu Milik Rakyat Johor.

 

Katanya, PDRC juga merupakan jawatankuasa yang memantau dan memastikan sasaran 21, 139 Rumah Mampu Milik Johor dalam tempoh lima tahun, dapat dibina.

 

“Sasaran 2022 adalah sebanyak 2,459 RMMJ siap dibina telah melebihi sasaran iaitu 3,058 telah siap dibina (bersamaan) KPI iaitu 124 peratus,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor